malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Gaji tertunggak: Pemain, jurulatih mangsa keadaan
ADS

Pertukaran pengurusan tertinggi Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) antara faktor mula masalah dalaman pasukan itu hingga berlarutan kepada gaji tertunggak di kalangan pemain dan jurulatih.

Bekas pengendali ATM B Sathianathan berkata sebelum bermula Liga Super 2015 beliau diberi lampu hijau oleh pengurusan terdahulu serta penaja untuk menandatangani kontrak seramai 25 pemain.

Namun katanya, selepas pengurusan baru mengambilalih PBATM perkara itu dibantah di saat-saat akhir.

"Saya dimaklumkan oleh PBATM mereka hanya mahu menggunakan lima khidmat pemain profesional, manakala selebihnya mahu dibarisi pemain di kalangan anggota tentera sendiri.

"Jadi sayalah yang bertanggungjawab, tetapi dalam tempoh yang singkat bagi saya ia tidak masuk akal.

"Untuk pemain adalah tidak adil untuk mereka kerana kontrak sudah ditandatangani dan mereka tidak ada masa untuk mencari pasukan lain," katanya ketika ditemui di Subang, semalam.

Sebelum bermula musim 2015 Presiden PBATM yang juga Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin telah melepaskan jawatan dan diganti dengan Panglima Tentera Darat Tan Sri Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sathinathan berkata, perkara itu dilihat menjadi permulaan masalah tersebut.

ATM juga mengambil tindakan merehatkan Sathinathan daripada terus membimbing pasukan itu, malah gaji bekas jurulatih kebangsaan itu juga masih tertunggak.

"Kalau pengurusan baru ambil alih daripada pengurusan lama mereka perlu sanggup terima apa sahaja yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu.

"Mereka perlu bertanggungjawab, saya harap ATM akan membayar gaji pemain yang tertunggak dan juga jurulatih-jurulatih berkenaan," jelasnya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan daripada PBATM berhubung perkara tersebut.

Lihat Komen