malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
RM1,500 untuk pemain terbaik bulanan Liga Super
ADS

Habuan bernilai RM1,500 bakal dinikmati penerima anugerah Pemain Terbaik Bulanan anjuran Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) sempena Liga Super 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM Izham Ismail berkata berbanding musim penganjuran lalu pihaknya dengan kerjasama All Sports Images and News Agency (asiana.my) dan MVP Sports Agency meningkatkan hadiah sebanyak RM1,000.

"Pemilihan pemain terbaik bulan ini akan dipilih oleh panel terdiri daripada wakil PFAM, asiana.my, MVP Sports Agency dan pengamal media.

"Selain itu, peminat juga boleh mengundi pemain yang disenaraikan oleh panel untuk pemilihan akhir melalui laman www.pfam.my," katanya selepas melancarkan Anugerah pemain Terbaik Bulanan 2016, di Subang, hari ini.

Izham berkata, tahun lalu secara purata 2,000 peminat mengambil bahagian untuk mengundi dan pihaknya menyasarkan jumlah lebih besar tahun ini.

"Selain wang tunai, kita juga akan memberikan trofi anugerah kepada pemenang yang dipilih.

"Anugerah ini diharap akan menjadi pencetus semangat kepada pemain untuk lebih bersungguh-sungguh meningkatkan prestasi mereka pada setiap perlawanan," katanya.

Musim lalu menyaksikan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan pertama bermula pada bulan Mei dianugerahkan kepada Wan Zaharulnizam Zakaria dari Kelantan.

Selain itu, pemain import Terengganu Issey Nakajima-Farran memenangi anugerah berkenaan sebanyak dua kali, manakala empat lagi pemain ialah Nurridzuan Abu Hasaan (Perak), Sandro da Silva (Kedah), Luciano Figueroa dan Safiq Rahim (JDT).

Lihat Komen