malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Jersi skuad Kelantan 'turun dari angkasa lepas'
Diterbitkan:  Feb 10, 2016 5:22 PM
Dikemaskini: 9:25 AM
ADS

Mungkinkah jersi pertama seumpamanya di dunia?

Bukan sekadar berwarna merah jambu, jersi pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) yang bakal diperkenalkan esok dilaporkan mempunyai fungsi membakar lemak dan memutihkan kulit pemakainya.

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman dilaporkan berkata, rekaan empat jersi jenama DVS (Datuk Seri Vida) itu mempunyai kelebihan dari segi kesihatan.

Katanya, benang yang direka khas itu dihasilkan di tiga negara iaitu China, Thailand dan Vietnam menggunakan teknologi terkini.

"Keempat-empat jersi yang bakal dilancarkan bagi edisi pertama ini mempunyai fungsi perangkap peluh dan mampu memutihkan kulit," katanya.

Menjelaskan keunikan jersi pemain Kelantan itu, Hasmiza ( gambar ) berkata apabila mahu lakukan sesuatu beliau suka 'memandang ke depan' dan hasilnya memberi manfaat pada semua.

Kata pengusaha barangan kesihatan dan komestik itu, keistimewaan jersi Kelantan bermula pada benangnya yang turut berfungsi melancarkan perjalanan darah pemakai.

Tak mudah ditiru

Ia juga, katanya, menghasilkan kelembapan daripada peluh pada badan, sekali gus mampu membakar lemak.

"Proses mengeringkan peluh itu akan menjadikan kulit putih seolah-olah baharu saja selesai sauna," lapor BH Online hari ini.

Beliau memaklumkan benang seumpama itu sudah lama digunakan untuk mengurus badan dan memutihkan kulit.

"Alang-alang mahu reka jersi, jadi saya terus aplikasikan kelebihan (benang) ini pada jersi PQPTRW," kata jutawan kosmetik kelahiran Machang, Kelantan itu.

Tambah Hasmiza, beliau mahu jersi yang dipakai pemain dan penyokong bukan hanya mempamerkan rekaan semata-mata seperti sebaliknya mempunyai fungsi kesihatan.

Pengasas Vida Beauty itu berkata, syarikatnya akan mengeluarkan dua versi jersi bagi keempat-keempat rekaan iaitu versi eksklusif dan versi penyokong dengan pengeluaran sebanyak 20,000 helai untuk edisi pertama.

"Majlis pelancaran yang diadakan nanti pasti memberi kejutan luar biasa kepada orang ramai, seolah-olah jersi ini turun dari angkasa lepas. Harga yang ditawarkan pula mampu milik bagi membolehkan semua orang dapat memilikinya.

"Saya yakin fungsi jersinya tidak akan mudah ditiru mana-mana pihak sebaik saja ia dilancarkan nanti," jelasnya.

Lihat Komen