malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
ABL: Dendam Saigon Heat berbalas di Vietnam
ADS

Selepas dua kemenangan untuk Westports Malaysia Dragons di gelanggang sendiri, pasukan Malaysia akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan di tangan Saigon Heat dengan perbezaan sembilan mata, semalam.

Dragons memenangi pertemuan pertama pada 7 November lalu dengan 100 - 92 selepas masa tambahan.

Heat akhirnya menutup tirai tiga kekalahan berturut-turut dengan kemenangan kedua menentang pasukan Malaysia semalam. Heat mengatasi Dragons 91 - 82.

"Kami menerima kekalahan dalam perlawanan dalam bentuk 'rebounding' kali ini. Dragons sememangnya hilang banyak mata tapi kami tetap bertahan dalam separuh masa pertama sehingga seri 47 - 47.

"Ketika Calvin terpaksa direhatkan akibat kecederaan, ia sangat sukar bagi Dragons bersaing dengan Heat. Sungguhpun begitu, kami tetap tidak berputus asa," kata Ariel Vanguardia, ketua jurulatih Dragons.

Perlawanan tersebut diadakan di dewan CIS Arena yang terletak di bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Dragons kelihatan optimis pada permulaan perlawanan dengan jaringan 9 - 0.

Dragons masih di hadapan pada suku pertama dengan kelebihan lima mata dengan kedudukan diikat 17 - 22.

Bermulalah suku kedua yang bermasalah untuk pasukan Malaysia untuk mengekalkan kelebihan mata.

Pemain import Heat, Lenny Daniel dan Moses Morgan mula mengorak langkah untuk mematahkan corak permainan pantas Dragons, lantas memimpin Heat untuk menjaringkan 30 mata dalam suku kedua dan seri 47 - 47.

Dragons mula kelihatan rapuh dalam pertahanannya apabila Calvin Godfrey terpaksa direhatkan dalam suku ketiga akibat kecederaan pada lututnya.

Heat mengambil kesempatan itu untuk melumpuhkan barisan pertahanan dan asakan bertubi-tubi terhadap Dragons merancakkan lagi sokongan penonton tuan rumah.

Heat merampas kembali kedudukan dengan kelebihan tujuh mata di suku ketiga apabila kedudukan menjadi 68 - 61.

Bagai cacing kepanasan, pasukan Dragons berusaha untuk mengurangkan defisit mata pada suku terakhir dan berjaya menyamakan jaringan pada minit 7.18 untuk menjadikan kedudukan 69 - 69.

Namun, Heat mempunyai kelebihan dalam rebounds serangan dan pertahanan yang memberikan mereka lebih banyak ruang untuk menjaringkan mata dalam perlawanan itu.

Akhirnya Dragons terpaksa akur dengan kekalahan apabila kedudukan muktamad adalah 91 - 82.

Matthew Wright dari Dragons mendapatkan jaringan terbanyak dengan 24 mata, empat rebound dan tiga assist, manakala Jason Brickman menjaringkan 14 mata, 10 assist dan tiga rebound.

Lenny Daniel dari Heat berjaya menjaringkan 22 mata dan 11 rebound manakala Moses Morgan mendapat 22 mata, lapan rebound dan tujuh assist.

Dragons akan bertemu pasukan dari Thailand, Mono Vampire buat kali kedua pada 6 December di Stadium Maba minggu depan.

Lihat Komen