malaysiakini logo
story-image
ADS

FAM hari ini tampil menjelaskan 'kekeliruan' ekoran kenyataan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang kecewa kerana dihukum atas tuduhan tidak membayar pampasan dan tunggakan gaji bekas pemain import Pahang, Mohamed Borji.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, kenyataan dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Fahrizal Hassan sejak beberapa hari lalu bertujuan menyalahkan badan induk bola sepak negara.

Bagi menjernihkan kekeliruan, Hamidin hari ini membuat penjelasan panjang dengan memasukkan kronologi isu itu yang menggunakan hujah borang C06.

  • 1 April 2013 - PBNP menghantar surat kepada FAM memaklumkan penamatan kontrak Borji dengan melampirkan Borang C-06 (persetujuan penamatan kontrak)
  • 25 April 2013 - Borji menghantar surat kepada FAM mengadu mengenai PBNP
  • 26 April 2013 - FAM menghantar surat meminta penjelasan PBNP mengenai tuntutan Borji
  • 14 Mei 2013 - PBNP menjawab surat berkenaan bersama dokumen sokongan, termasuk borang C-06. Surat penjelasan itu kemudian dikemukakankepada Fifa
  • 31 Oktober 2014 - FAM memajukan surat keputusan Forum Penyelesaian Pertikaian (DRC) Fifa kepada PBNP. Dalam surat itu PBNP diarah membayar tunggakan gaji sebanyak AS$45,000 (yuran tandatangan, gaji Disember 2012 dan baki gaji dari Januari hingga Mac 2013) dan AS$80,000 pampasan kerana melanggar kontrak (gaji dari April 2013 hingga November 2013)
  • Dalam surat berkenaan, PBNP juga maklum mereka akan dikenakan tindakan lanjut oleh Fifa - termasuk dibawa ke jawatankuasa tatatertib - jika bayaran berkenaan gagal dilunaskan
  • 28 Januari 2015 - FAM sekali lagi menghantar surat Fifa untuk PBNP apabila persatuan itu gagal membayar AS$125,000 (RM512,484). Surat berkenaan mendesak PBNP segera membuat bayaran kepada pemain berkenaan. Fifa juga mengingatkan sekali lagi kesan dihadapi PBNP jika arahan itu diingkari
  • 10 Ogos 2015 - Fifa menghantar surat memaklumkan keputusan jawatankuasa tatatertib badan itu kerana PBNP gagal mengikut arahan dikeluarkan. Jawatankuasa itu bersidang pada 23 Julai 2015. Selain jumlah asal (AS$125,000) PBNP juga dikenakan denda tambahan AS$14,691 atas keingkaran itu. PBNP turut diminta membayar AS$1,958 untuk kos prosiding kes berkenaan.
  • PBNP diberi tempoh 30 hari untuk mematuhi arahan berkenaan atau jika tidak, enam mata diperolehi daripada liga tempatan akan ditolak. Jika selepas itu bayaran masih tidak dibuat, pasukan Pahang boleh diturunkan ke divisyen bawah liga domestik (Liga Premier Malaysia).

Hamidin berkata, sebagai Setiausaha Agung FAM, beliau menelefon Setiausaha Kehormat PBNP, Fuz Zemi Ibrahim beberapa kali supaya persatuan itu mengambil serius amaran diberi Fifa.

"PBNP kemudian meminta FAM memajukan surat kepada Fifa pada 8 September 2015 untuk memohon masa lebih panjang bagi membuat pembayaran berkenaan atas alasan wang sedia ada perlu digunakan untuk mengharungi baki musim 2015 serta persiapan menghadapi musim 2016.

"PBNP juga cuba berunding dengan Borji mengenai terma pembayaran tunggakan tersebut," katanya.

Akhirnya, kata Hamidin, pada 13 November lalu Fifa menghantar surat memalumkan keputusan terbaru mereka, iaitu menolak enam mata diperoleh Pahang dalam Liga Super.

Berdasarkan kronologi tersebut, Hamidin berkata, PBNP jelas mengetahui hukuman yang boleh dikenakan terhadap mereka jika enggan mengikut arahan ditetapkan Fifa.

"Hanya selepas ditolak enam mata, baru mereka cuba mengaitkan pula isu borang C-06.

"Keputusan Fifa dibuat selepas mereka melakukan siasatan menyeluruh terhadap semua dokumen sokongan yang dinyatakan terutama dari segi kesahihannya, melibatkan kedua-dua pihak (PBNP dan pemain)," katanya.

Lihat Komen