malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Milner, Benteke bawa Liverpool melangkah jauh
Diterbitkan:  Nov 27, 2015 12:38 PM
Dikemaskini: 4:55 AM
ADS

Liverpool menempah tempat dalam kelompok 32 pasukan terbaik selepas meraih tiga mata penuh dalam saingan Liga Eropah, awal pagi tadi.

The Kop ditentang Bordeaux dan mujurnya mereka menang dengan jaringan tipis 2 - 1 dalam perlawanan di Anfield itu.

Kemenangan itu sekali gus memberi laluan kepada Liverpool berada di puncak kumpulan B dengan mengumpul sembilan mata.

Bagaimanapun, suasana cemas dialami pasukan tuan rumah selepas dikejutkan oleh kelab dari Perancis itu yang terlebih dahulu mencipta gol.

Henri Saivet tidak mensia-siakan peluang sepakan percuma di dalam kawasan penalti untuk mendahului anak didik Jurgen Klopp pada minit ke-33.

Bagaimanapun, kegembiraan Bordeaux tidak bertahan lama selepas pemain mereka, Ludovic Sane mengasari Christian Benteke di kawasan kotak penalti.

Hasilnya, Liverpool berjaya menyamai kedudukan melalui sepakan yang disempurnakan James Milner selepas lima minit ketinggalan.

Penghujung separuh masa pertama, Benteke menjadi wira Liverpool dengan rembatan kencang ke sisi kanan gawang Bordeaux untuk meletakkan mereka di depan.

Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah jaringan di separuh masa kedua ternyata gagal sehingga tiupan panjang wisel penamat.

Selain Liverpool, satu lagi wakil kelab England - Tottenham Hotspur - turut layak ke peringkat seterusnya selepas mengumpul 10 mata dan mendahului kedudukan di kumpulan J.

Dalam perlawanan kelima awal pagi tadi, mereka berjaya menewaskan kelab Azerbaijan, Qarabag FK dengan jaringan 1 - 0.

Lihat Komen