malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
MotoGP dibawa ke Sentul pada 2017
Diterbitkan:  Nov 25, 2015 5:54 PM
Dikemaskini: 9:57 AM
ADS

Laporan Kompas mengesahkan Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Imam Nahrowi menandatangani surat hasrat ( letter of intent - LOI) dengan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sport, Carmelo Ezpeleta.

Sebagai persediaan menganjurkan pertandingan itu nanti, projek menaik taraf litar Sentul yang akan digunakan dalam perlumbaan itu nanti dijangka bermula bulan depan.

Pelan menaik taraf litar sedia ada kepada litar kelas A antara lain menjadikan ia memiliki ciri keselamatan ditetapkan badan induk sukan lumba motosikal dunia, FIM.

Jarak panjang litar itu juga ditambah kepada 4.2 kilometer, selain bilangan selekohnya juga dibanyakkan.

Litar Sentul berwajah baru itu turut dipersiapkan supaya mampu menampung perlumbaan kereta Formula One (F1).

Jurucakap syarikat yang mengelola Litar Sentul, Tinton Soeprapto, berkata ia akan menjadi lokasi perlumbaan bertaraf dunia walaupun melalui kawasan perumahan dan komersial.

"Sebuah hotel akan dibina bersebelahan dengan litar supaya tetamu boleh menonton perlumbaan dari bilik mereka sama seperti di litar Grand Prix Monaco," katanya.

Cuba bantu promosi

Tinton menjelaskan LOI sudah ditandatangani oleh menteri yang berkenaan.

Arkitek dari Jerman, Hermann Tilke, Jerman dilantik sebagai firma yang bertanggungjawab mengendalikan projek berkenaan sehingga siap - dijangka pada Mac tahun depan.

Tinton turut yakin Indonesia mampu menganjurkan sukan bermotor bertaraf dunia selepas kali terakhir menganjurkan Grand Prix pada 1997.

"Kami adalah antara pengguna motorsikal tertinggi di dunia. Kami juga mempunyai kilang motosikal terbesar dan kilang tayar terbesar di dunia.

"Sebagai pusat automotif, Indonesia layak untuk menganjurkan acara sukan bermotor bertaraf dunia.” kata Tinton.

Perkembangan ini turut diterima baik Ikatan Motor Indonesia (IMI) yang sememangnya menginginkan acara permotoran bertaraf dunia di adakan di negara itu.

"IMI akan cuba membantu supaya MotoGP dibawa ke Indonesia. Kami kini dalam perbincangan dengan pihak swasta untuk tujuan promosi." kata ketua IMI, Sadikin Aksa.

Lihat Komen