malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Watson si Dayak Terbang 17 tahun 'patah hati'
ADS

Dia pernah digelar sebagai The Flying Dayak dan aksinya sering dinanti-nanti peminat sukan olahraga.

Pada era kegemilangannya Watson Nyambek menjadi tempat negara bergantung harap untuk berasa bangga di pentas sukan peringkat antarabangsa.

Dia banyak melakar kejayaan dan kehebatannya diakui. Antara legasi Watson adalah mencatat rekod pecut baru negara pada 1998 dengan mata 10.30 saat.

Itu cerita Watson ketika menjadi pelari pecut negara. Selepas bersara, namanya bagai dilupakan hampir semua orang sehinggalah kelmarin apabila Badrul Hisyam Manap memadamkan rekod berkenaan .

Sekali lagi nama Watsot dikenang.

Bahagiakah Watson sekarang?

Dihubungi Malaysiakini , Watson mengakui dia dilanda kecewa dan memendam rasa.

Negeri, persekutuan sama

Dia sama sama sekali tidak sedih kerana Badrul Hisyam, 18, mencipta rekod baru - dengan beza 0.01 saat - sebaliknya anak kelahiran Sawarak itu berasa seperti tidak dihargai dan tersisih.

Kata Watson, dia bukan berniat untuk meminta-minta atau menagih perhatian tetapi berasa dengan apa yang dilakukan untuk negara, wajar ada pengiktirafan diberikan sebagai menghargai jerih payahnya selama ini.

"Selepas bersara pada 2001, langsung tiada sebarang penghormatan diberikan, sama ada daripada peringkat negeri atau kebangsaan.

"Macam ada sesetengah atlet dan negeri lain yang diberi penghargaan seperti hadiah sebidang tanah oleh kerajaan negeri atau keistimewaan tertentu," katanya.

Keluhan Watson itu sebenarnya tidak terlalu mengejutkan. Baru-baru ini Malaysiakini turut menyiarkan laporan memetik bekas jaguh lompat jauh negara, Zaki Sadri, mengenai situasi semasa dunia olahraga negara.

Dalam laporan bersiri itu Zaki berkata, senario sukan olahraga yang diwarisi sejak merdeka masih gagal diangkat sewajarnya untuk berkembang mengikut masa. Ia juga, katanya, gagal mendapat suntikan motivasi lebih tinggi.

Menurut Watson, kekecewaan itu bukan dirasainya seorang diri malah atlet lain yang pernah menyumbang tenaga untuk negara.

Malangnya, kata Watson, 39, ada antara atlet berjasa itu sudah meninggal dunia dan tetap tidak diberi penghormatan sewajarnya.

"Saya bernasib baik kerana mempunyai pekerjaaan tetap selepas bersara.

"Saya kini terbabit dalam bidang kejurulatihan dan bekerja untuk Majlis Sukan Sarawak dengan membimbing bakat baru di negeri ini," katanya.

Jelas Watson, dia juga mencurahkan pengalamannya untuk membantu atlet muda di bawah The Flying Dayak Club.

Tambah Watson, pada zaman serba moden kini, kemudahan kepada atlet sepatunya diberika lebih banyak dan menyeluruh.

"Kalau di semenanjung lagi mudah, berbanding saya di Sarawak. Misalnya, kita sukar untuk mendapatkan produk makanan tambahan yang bermutu dan harganya terlalu tinggi.

"Itu sangat membebankan atlet-atlet di sini dan usaha pembangunan sukan olahraga di Malaysia sewajarnya diberi lebih perhatian oleh kerajaan," jelasnya.

Lihat Komen