malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Sukan
Piala Malaysia: Sebelah kaki Pahang di separuh akhir
ADS

Pahang 'memarkir' sebelah kakinya di pusingan separuh kaki selepas menjinakkan Lions XII dengan jaringan 4 - 1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.

Bekalan selesa skuad Tok Gajah itu‎ diawali dengan gol minit ketujuh hasil jaringan pemain tengah mereka, Hafiz Kamal ketika permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan sehingga tamat separuh masa pertama.

Anak buah Zainal Abidin Hassan ternyata memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri dengan menjamu pasukan pelawat di babak masa kedua.

Matias Conti, Dickson Nwakaeme dan Gopinathan melengkapkan empat jaringan ‎dalam tempoh 13 minit masing-masing pada minit ke-55, ke-60 dan ke-68.

Sementara itu pelawat sekadar mengutip gol saguhati melalui Safuwan Baharudin, itu pun di masa kecederaan.

Kempunan calar rekod JDT

Aksi di Selayang pula menyaksikan gol penyamaan di minit-minit akhir oleh pemain tengah JDT, Amirul Hadi Zainal meleburkan hasrat Felda United untuk memecahkan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selantan.

Dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Perbandaran Selayang itu, skuad Harimau Selatan dijamu dengan gol tuan rumah seawal minit ketujuh.

Serba tidak menjadi - itulah gambaran persembahan anak buah Mario Gomez yang dilihat agak longgar, termasuk di bahagian pertahanan walaupun menguasai 60 peratus permainan di separuh masa pertama.

Berbanding pasukan tuan rumah, JDT gagal mencipta ‎peluang jaringan dan percubaan tepat hasil kekangan mantap pertahanan lawan.

Sementara di pihak tuan rumah, mereka bertungkus-lumus untuk menambah jaringan dengan serang demi serangan ke kubu pertahanan JDT.

Bagaimanapun, separuh masa kedua JDT memperkemaskan jentera ‎mereka sekali gus menyekat kemaraan Felda.

Jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan tugas berat terpaksa dipikul mereka menjelang perlawanan pusingan kedua Sabtu ini.

"Sudah tentu kami tidak boleh sekadar bertahan di Larkin nanti.

"Kami kurang bernasib baik selepas JDT berjaya menyamakan kedudukan di saat akhir. Apa pun kita akan cuba memberikan yang terbaik untuk mara ke peringkat separuh akhir," katanya.

Sementara itu, di Stadium Negeri Sarawak pula keputusan berpihak kepada pasukan pelawat - Selangor dengan kemenangan 2-1 ke atas Sarawak.

Selain itu, Kedah juga senasib dengan Felda United apabila sekadar seri 1-1 melayan kunjungan PKNS FC di Stadium Darul Aman.

Lihat Komen