malaysiakini logo
story-image
ADS

Pusingan pertama peringkat suku akhir Piala Malaysia 2015 malam ini bukanlah penentu siapa juara. Namun, saingannya begitu sengit dan di luar jangkaan.

Empat perlawanan akan berlangsung dengan tumpuan utama dilihat terarah kepada pertemuan antara Felda United dan JDT di Stadium Perbandaran Selayang.

Selepas menjuarai Piala AFC 2015, skuad Harimau Selatan membuktikan mereka adalah yang terbaik khususnya di kalangan pasukan tempatan.

Bagaimanapun, rekod pertemuan sebelum ini menyaksikan anak buah Mario Gomez ( gambar ) pernah tumbang dua kali di gelanggang keramat The Fighters.

Musim lalu menyaksikan Felda United menang 4 - 3 ke atas JDT dalam saingan separuh akhir pertama, namun JDT bangkit menyingkirkan mereka pada separuh akhir kedua dengan jaringan 3 - 1 di Larkin.

Selain itu, aksi terakhir mereka dalam saingan Liga Super lalu, JDT tumpah 1 - 2 sekali gus membuktikan anak buah Irfan Bakti Abu Salim bukanlah lawan yang mudah.

Felda United juga mempunyai misi untuk membalas dendam terhadap JDT yang menyikirkan mereka pada musim lepas.

Pegang prinsip

Irfan Bakti berkata, skuad asuhannya bersedia memberi aksi terbaik untuk menyekat keghairahan JDT yang disifatkan berada dalam tahap motivasi tinggi selepas menjuarai AFC.

"Dalam bola sepak tiada yang mustahil," itu prinsip yang dipegang jurulatih kelahiran Perak itu.

"Saya harap pemain lebih fokus pada perlawanan penting ini dan pastinya kami akan lakukan yang terbaik untuk layak ke pusingan separuh akhir," katanya ringkas.

Mampukah Felda United meleburkan rekod tanpa kalah JDT sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini?

Di peringkat kumpulan B Harimau Selatan menang dalam lima perlawanan dan seri 1 - 1 dalam perlawanan terakhir kumpulan B ditentang Sarawak.

Sementara itu, perlawanan lain akan menyaksikan Pahang melayan kelab dari Singapura Lions XII di Stadium Darul Makmur, manakala Sarawak ditentang Selangor di Stadium Negeri, Kuching.

Selain enam pasukan dari Liga Super tersebut, dua pasukan dari Liga Perdana iaitu Kedah dan PKNS FC masing-masing memburu kemenangan di Stadium Darul Aman, malam ini.

Atas kertas memperlihatkan JDT, Pahang, dan Selangor mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi semasa mereka, manakala Kedah mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri perlu berhati-hati dengan juara kumpulan D, PKNS FC.

Tetapi Kedah terpaksa beraksi tanpa kehadiran jurulatih mereka, Tan Cheng Hoe di sisi padang selepas dilaporkan berlepas ke China bagi menyambung siri kursus kejurulatihan lanjutan bagi mendapatkan lesen A.

Cheng Hoe akan berada di perantauan selama 20 hari dan dijangka pulang pada pertengahan Disember ini.

Hakikatnya pasukan yang dianggap gergasi tidak boleh mendabik dada ke atas lawan masing-masing terutamanya bagi Pahang yang berdepan juara kumpulan A, Lions XII.

Kemenangan di pusingan pertama suku akhir ini bakal dijadikan modal selesa buat setiap pasukan sebelum melangkah ke kelompok empat pasukan terbaik di saingan separuh akhir.

Ketangkasan, taktikal jurulatih dan kesungguhan pemain akan mewarnai Piala Malaysia 2015 untuk kita lihat siapa yang lebih langkah kanan.

Lihat Komen