malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Analisis: Cabaran getir menanti PH di KKB
ADS

Pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu menamatkan spekulasi mengenai pesaing bagi merebut kerusi DUN itu.

Walaupun terdapat cadangan lain, kedua-dua kem akhirnya membentangkan strategi mereka yang paling menjanjikan, bertujuan untuk memenangi PRK dengan merayu kepada pangkalan sokongan masing-masing.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang mengatakan PH mungkin meletakkan Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Saripah Bakar daripada DAP sebagai calon untuk menarik pengundi Melayu. Pada masa sama, Gerakan berulang kali menyatakan hasrat untuk diberi peluang sekali lagi bertanding di kerusi itu.

Akhirnya, PH menamakan setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Pang Sock Tao, sebagai calon gabungan itu.

Pada malam berikutnya, pada 25 April, PN mengumumkan bahawa pemangku Ketua Bahagian Hulu Selangor Bersatu Khairul Azhari Saut akan bertanding bagi gabungan itu, walaupun terdapat lobi yang kuat daripada Gerakan.

Meskipun masih ada masa untuk menukar taktik sebelum hari penamaan calon esok, keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pihak menunjukkan penilaian semula strategik dan menunjukkan bahawa saingan untuk Kuala Kubu Bharu telah pun bermula sebelum penamaan calon.

Khairul Azhari Saut

Keputusan PN untuk memilih calon Bersatu berbanding Gerakan mencerminkan peralihan strategi daripada memikat pengundi Cina kepada menggandakan asas sokongan Melayunya.

Sementara itu, langkah PH menunjukkan keazaman DAP untuk mengukuhkan asas sokongan Cina dan mengelak daripada mengulangi kesilapannya pada PRK Teluk Intan di Perak pada 2014, ketika ia meletakkan calon Melayu Dyana Sofya Mohd Daud dan tewas.

Kedua-dua perubahan dikaitkan dengan perubahan demografi Kuala Kubu Bharu.

Pertambahan pengundi Melayu

DUN itu meruakan kerusi campuran dengan pengundi Cina pada asalnya membentuk bahagian terbesar, tetapi komposisi ini telah berubah sejak beberapa dekad.

Pengundi Melayu telah meningkat daripada 32.7 peratus semasa pilihan raya umum (PRU) 2013 kepada 49.3 peratus pada pilihan raya negeri (PRN) 2023, manakala pengundi Cina menyusut daripada 42.7 peratus kepada 30.6 peratus.

Baki 17.9 peratus adalah pengundi India, dan 2.1 peratus adalah pengundi dari etnik lain.

Mengikut pengiraan Bendahari DAP Selangor Ong Kian Ming, PH memenangi sebanyak 99 peratus sokongan kaum Cina dan 80 peratus sokongan kaum India di Kuala Kubu Bharu semasa PRN Selangor tahun lalu, manakala sokongan Melayu hanya 22 peratus.

Dalam erti kata lain, PN memperoleh hampir 80 peratus pengundi Melayu kawasan itu pada PRN berkenaan.

Menunggang gelombang sokongan popular, PN juga memenangi 22 kerusi DUN di Selangor dan melucutkan majoriti dua pertiga kerajaan PH-BN Selangor. Kerusi Parlimen Hulu Selangor dan dua daripada DUN di dalamnya turut jatuh kepada PN, menjadikan Kuala Kubu Bharu satu-satunya yang masih dipegang PH.

Jika PN dilihat memanfaatkan pangkalan sokongan Melayunya untuk menerajui 'serangan' bagi merampas kerusi DUN itu, langkah PH boleh ditafsirkan sebagai menstabilkan pangkalan sokongan Cinanya untuk memantapkan pertahanannya.

Tetapi adakah pengundi Cina masih penyokong tegar PH?

Ketidakpuasan hati Cina, India makin meningkat

Berikutan kontroversi berhubung KK Mart dan hukuman penjara bekas perdana menteri Najib Razak, timbul rasa resah dalam kalangan masyarakat Cina. Kenaikan kos sara hidup dan kenaikan cukai perkhidmatan pada bulan Mac menyemarakkan lagi kemarahan terhadap kerajaan.

Walaupun tahap ketidakpuasan hati mungkin tidak bertukar menjadi undi protes untuk PN, ia masih boleh bermakna peratusan keluar mengundi lebih rendah pengundi Cina yang menjejaskan peluang PH pada PRK kali ini.

Begitu juga, terdapat rasa tidak puas hati yang semakin meningkat di kalangan pengundi India dengan kontroversi seperti Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislamkan seorang pemuda India dan ketika presiden PKR itu menjawab soalan pelajar India mengenai kuota kaum di institusi pendidikan.

Ketiadaan menteri dari kalangan kaum India susulan rombakan Disember lalu juga adalah satu lagi perkara yang menjadi pertikaian.

Beberapa pihak yang terdiri daripada bekas menteri, bekas pemimpin dan sekutu PH, serta wakil NGO turut menggerakkan kempen di Kuala Kubu Bharu untuk “menikam” Anwar dengan menyeru pengundi India memboikot pilihan raya itu sebagai satu cara untuk membantah tindakan kerajaan yang dikatakan mengabaikan masyarakat India.

Di Kuala Kubu Bharu, yang mempunyai hampir 18 peratus pengundi India, boikot yang berjaya sudah pasti akan menjejaskan peluang PH.

Ong, yang merupakan ahli sains politik, sebelum ini menggariskan tiga senario untuk PRK itu, dua daripadanya akan mengakibatkan kekalahan kepada PH.

Hanya satu senario menyaksikan PH bertahan di Kuala Kubu Bharu, namun hanya dengan margin kurang daripada 1,000 undi.

Bagaimanapun, esok hanyalah hari penamaan calon. PH masih mempunyai 14 hari berkempen dan di situlah peluang untuk mengubah keadaan dan mempertahankan kubu terakhirnya di Selangor Utara.

Lihat Komen