malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MIPP sertai PN: Masyarakat India terbuka sokong jika ada hala tuju baik
ADS

TINJAUAN | Pada 22 April lalu, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) diterima sebagai komponen PN, menjadikannya parti yang mewakili kaum India dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, penganalisis politik berpandangan beberapa siri pilihan raya diperlukan bagi menguji sejauh mana MIPP mampu menarik pengundi India memilih PN, yang sememangnya bergelut untuk meraih sokongan orang bukan Melayu.

Tinjauan Malaysiakini selama dua hari bersama masyarakat India menunjukkan mereka terbuka untuk menyokong Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), yang baru sahaja diterima sebagai komponen PN, jika parti itu menunjukkan hala tuju yang jelas dalam membantu mereka.

Ada juga yang merasakan kerajaan sekarang tiada perancangan yang jelas dalam membantu masyarakat itu.

Antaranya Yugen, 28, yang berkata dia terbuka untuk mengundi MIPP, ataupun mana-mana parti lain dalam PN, jika parti itu mengemukakan alternatif yang boleh memperbaiki kehidupan masyarakat India, terutama dalam aspek peluang perniagaan.

“Buat masa ini saya belum berani membuat penilaian awal untuk MIPP. Namun, saya berminat untuk mengetahui lebih lanjut serta memerhati pergerakan mereka,” katanya yang merupakan ahli perniagaan.

Yugen berkata dia mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana sudah lali dengan sikap ahli politik yang menurutnya tidak mengotakan janji yang dibuat.

“Buat masa ini saya belum mengambil pendirian dalam menyokong mana-mana parti politik kerana kesemuanya hanya tahu bercakap sahaja," katanya, sambil menambah pentadbiran BN di bawah bekas perdana menteri Najib Razak lebih banyak membantu kaum India berbanding kerajaan sekarang.

Begitu juga dengan peniaga bunga kalung, Vijayan Rasappan, 38, yang berkata tidak mustahil untuk dia beralih menyokong MIPP kerana kecewa dengan kerajaan yang menurutnya tidak banyak membantu orang India.

“Sekarang zaman makin susah namun tak banyak bantuan diberikan,” dakwanya.

Vijayan Rasappan

Pesara guru, Ganesana Punnisamy, 62, pula berkata dia hanya akan membuat penilaian terhadap mana-mana parti politik berdasarkan dasar yang dikemukakan untuk rakyat.

“Mana-mana boleh jaga rakyat saya sokong. MIPP atau PN kalau mereka lagi bagus jaga rakyat, saya boleh memberikan sokongan.

“Asalkan perbezaan kita tidak sampai menjejaskan keharmonian kaum di negara ini,” katanya.

Ganesana Punnisamy

Terdahulu, Pensyarah komunikasi UiTM Noor Nirwandy berkata masih terlalu awal untuk menilai jika penyertaan MIPP akan memberi kekuatan tambahan kepada PN.

Dia berkata PRK Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan boleh dijadikan penanda aras dalam perkara itu.

Penganalisis politik Prof Sivamurugan Pandian pula berpendapat penyertaan MIPP menandakan PN bersedia membina "gabungan besar yang pelbagai" dan Presiden MIPP SP Punithan menggalas tanggungjawab besar untuk mendapatkan sokongan pengundi India untuk gabungan itu.

Pada masa sama, dia tetap menatakan MIPP boleh memberi nilai tambah kepada PN yang sering dikaitkan dengan PAS dan Bersatu yang berteraskan Melayu-Islam.

Satu lagi parti komponen dalam PN adalah Gerakan.

‘Kerajaan bantu B40’

Bagaimanapun tinjauan Malaysiakini juga mendapati ada dalam kalangan masyarakat India yang berpuas hati dengan prestasi kerajaan dan tidak perlu lagi satu parti lain untuk mereka.

Pesara kerajaan George Thomas, 74, yang berkata dia sedih apabila masih ramai yang berbicara soal parti politik berdasarkan kaum.

"Patutnya kita harus lihat parti politik yang boleh membantu semua kaum di Malaysia. Usah lagi kita sebut membantu komuniti 'India', sebaliknya sebut membantu rakyat Malaysia,” katanya.

“Kerajaan ini utamakan golongan B40, dan kita harus sedar ramai kaum India berada dalam kategori ini. Bila kita cerita pasal bantuan, kita harus membantu orang susah dan bukannya hartawan macam Ananda Krishnan,” katanya.

Joseph Sagan

Menyuarakan sentimen sama, peniaga rojak Joseph Sagan menyuarakan penghargaan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) dalam membantu masyarakat India.

“Segala kelengkapan perniagaan rojak saya ini disediakan oleh Mitra,” kata lelaki berusia 65 tahun itu.

Beberapa golongan muda yang ditemui pula dilihat tidak begitu berminat dengan perkembangan politik negara.

Antaranya mekanik berusia 32 tahun, Shan Rao dan jurujual berusia 26 tahun, Gigendran yang berpandangan parti politik hanya pandai "menabur janji".

Lihat Komen