malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Akaun 'boleh keluar bila-bila' KWSP mula bulan depan
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 12:03 PM
Dikemaskini: 5:05 AM
ADS

Penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang antaranya memperkenalkan akaun fleksibel bagi membolehkan wang dikeluarkan pada bila-bila masa, bermula pada 11 Mei.

Akaun 1 akan dikenali sebagai akaun persaraan, akaun 2 dikenali sebagai akaun sejahtera dan akaun baru akan dikenali sebagai akaun fleksibel.

Menurut KWSP, akaun sejahtera bertujuan "menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan" manakala akaun fleksibel untuk keperluan jangka pendek.

Caruman pula akan dipecahkan seperti berikut:

Akaun persaraan: 75 peratus
Akaun sejahtera: 15 peratus
Akaun fleksibel: 10 peratus

Ini berbeza dengan sistem sekarang apabila 70 peratus caruman akan dimasukkan kepada akaun 1 dan 30 peratus lagi dalam akaun 2.

Akaun sejahtera akan bermula dengan sifar tetapi pencarum diberi pilihan untuk memindahkan wang daripada akaun sejahtera sekali saja antara 11 Mei (hari pertama penstrukturan) hingga 31 Ogos.

Pecahan wang yang dipindahkan berbeza mengikut keadaan, seperti di bawah:

Baki RM3,000 dan ke atas
10/30 baki dipindahkan ke akaun fleksibel
5/30 baki dipindahkan ke akaun persaraan
15/30 kekal dalam akaun sejahtera.

Baki RM1,000 dan ke bawah
Semua amaun dipindahkan ke akaun fleksibel.

Baki lebih RM1,000 tetapi tidak lebih RM3,000
RM1,000 dipindahkan ke akaun fleksibel
Selebihnya kekal dalam akaun sejahtera

Terdahulu keputusan itu dibantah oleh Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) yang menyifatkannya sebagai "tidak bertanggungjawab" kerana menjejaskan simpanan persaraan pekerja.

Penasihat buruh antarabangsa SPCAAM Callistus Antony D’Angelus berkata, pencarum yang akan mengeluarkan wang daripada akaun fleksibel mungkin mereka yang paling memerlukan wang apabila bersara.

Callistus Antony

Katanya, keputusan itu tiada bezanya dengan langkah "tidak bertanggungjawab" kerajaan ketika era perdana menteri Muhyiddin Yassin yang membenarkan pengeluaran wang ketika penularan wabak Covid-19.

SPCAAM berpendapat kerajaan sepatutnya menumpukan usaha meningkatkan gaji minimum yang ketika ini di paras RM1,500 sebulan.

Lihat Komen