malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jana Wibawa: 5 hakim Mahkamah Rayuan akan dengar semakan Muhyiddin
ADS

Lima hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan permohonan semakan Muhyiddin Yassin untuk mengembalikan keputusan dilepas dan dibebaskan (DAA) dalam kes salah guna kuasa program Jana Wibawa.

Peguam bekas perdana menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan mahkamah rayuan membenarkan permohonan lima panel semasa pengurusan kes pagi ini.

"Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim bersetuju dengan permohonan kami melalui surat daripada (peguam Muhyiddin) Chetan Jethwani bertarikh 19 April, meminta panel lima orang," kata Hisyam ketika dihubungi.

Pada 16 April lalu, dilaporkan bahawa ahli Parlimen Pagoh itu memohon lima hakim untuk mendengar permohonan semakannya.

Mahkamah Rayuan juga menetapkan 9 Julai untuk mendengar semakan itu, yang menyasarkan keputusan awal mahkamah untuk mengetepikan pembebasannya.

Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan DAA terhadap Muhyiddin yang dibuat Mahkamah Tinggi, dan mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa ke atasnya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hadhariah Syed Alisebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Ogos tahun lepas yang membenarkan bekas perdana menteri itu untuk mencabar pertuduhan berkenaan atas alasan ia tidak jelas dan cacat.

Sebelum ini, hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin memutuskan pertuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin adalah cacat dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Dia juga berkata pertuduhan itu tidak mendedahkan butir-butir yang mencukupi mengenai dakwaan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Muhyiddin masih menghadapi tiga pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram yang belum selesai di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada Mac tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, Muhyiddin minta dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta yang dikaitkan dengan Jana Wibawa.

Empat pertuduhan salah guna kuasa itu, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara Mac 1, 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Tiga pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpuaa) - dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk Bersatu menerima RM125 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity - antara 25 Feb 2021 hingga 8 Julai 2022.

Tuduhan itu tidak mendakwa bahawa pembayaran dibuat kepadanya.

Wang itu didakwa dicuci dengan menerima wang yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

[Baca berita asal]

Sementara itu, Bernama melaporkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan akan mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan kebenaran menyemak keputusan panel sebelum ini yang mengembalikan semula empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Seorang daripada peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika dihubungi berkata Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim telah membenarkan permohonan anak guamnya supaya panel lima hakim mendengar permohonan itu.

Permohonan semakan di Mahkamah Rayuan biasanya didengar oleh panel tiga hakim sahaja.

Pihak pendakwaan dan pembelaan Muhyiddin dimaklumkan oleh timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli semasa pengurusan kes hari ini bahawa permohonan Muhyiddin supaya panel lima hakim mendengar permohonan semakan itu, telah dibenarkan.

Hisyam turut mengesahkan kepada Bernama bahawa 9 Julai yang ditetapkan oleh mahkamah bagi mendengar permohonan Muhyiddin berhubung kebenaran untuk menyemak keputusan panel sebelum ini, dikekalkan.

Hisyam dan peguam Datuk K Kumaraendran, Amer Hamzah Arshad serta Low Wei Loke mewakili Muhyiddin semasa prosiding pengurusan kes, manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee di pihak pendakwaan.

Peguam Muhyiddin telah menulis surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan pada 19 April lepas, memohon supaya panel lima hakim mendengar permohonan semakan itu memandangkan terdapat isu penting berhubung undang-undang berkaitan bidang kuasa yang perlu ditentukan.

Pada 27 Mac lepas Muhyiddin memfailkan permohonan supaya mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengembalikan empat pertuduhan berkaitan salah guna kuasa terhadapnya, selepas Mahkamah Tinggi sebelum itu melepas dan membebaskan beliau daripada pertuduhan berkenaan.

Dalam notis usulnya, beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan adalah terbatal atau menyalahi undang-undang kerana ia dibuat di luar bidang kuasa yang diberikan mengikut Seksyen 50(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di Kuala Lumpur antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 serta 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Lihat Komen