malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tahanan reman lima individu termasuk anak MB disambung hingga esok
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 11:27 AM
Dikemaskini: 3:27 AM
ADS

Tahanan reman terhadap anak lelaki seorang menteri besar dilanjutkan hingga esok bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu bernilai RM600,000 sejak dua tahun lepas.

Selain itu tempoh reman empat lagi individu dalam kes yang sama turut dilanjutkan hingga esok, manakala seorang penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berusia 20-an yang juga direman sebelum ini, dibebaskan setelah siasatan terhadapnya selesai.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan lanjutan reman itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan oleh SPRM antara pukul 7 dan 8 pagi Selasa lepas di sekitar Perlis.

Menurut sumber siasatan dilakukan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu, sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Sementara itu di Putrajaya, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan itu.

- Bernama

Lihat Komen