malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pengurus agensi pelancongan didakwa cuba bunuh isteri
ADS

Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi wanita terbabit.

Hafizul Hawari, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Azrol Abdullah.

“Faham (pertuduhan) tidak mengaku bersalah,” katanya.

Hafizul didakwa cuba membunuh isterinya, Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 1.09 pagi, 14 April lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan kedua itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hafizul yang memakai baju T berwarna hitam dikawal ketat oleh pasukan polis semasa tiba di Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira jam 8.15 pagi.

Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron berkata pihaknya tidak menawarkan jaminan memandangkan Hafizul dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan jaminan ditolak oleh mahkamah itu.

“Dia ditangkap di Kota Bharu dan siasatan polis mendapati tertuduh ingin keluar secara tidak sah dari Malaysia melalui sempadan di negeri itu. Kami percaya dia ada risiko melarikan diri, oleh itu kami memohon jaminan tidak ditawarkan,” katanya.

Sementara itu peguam Muhammad Naim Mahmud yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan jaminan bukan berbentuk hukuman dan ia adalah ikatan supaya tertuduh boleh hadir pada prosiding di mahkamah.

“Kes ini mendapat liputan media, jadi dia mempunyai hak untuk diikat jamin… mahkamah ada kuasa dan budi bicara untuk memberi jaminan ke atas mana-mana tertuduh, “ katanya.

Dia berkata Hafizul mempunyai tujuh anak termasuk yang bongsu berusia tiga tahun, dan semasa prosiding di Kota Bharu, tertuduh ada menyebut masih sayangkan isterinya.

“Kami mohon mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan diberikan dan kami bersedia dengan syarat jaminan lain yang ketat,” katanya.

Azrol kemudian tidak membenarkan jaminan kerana dua kesalahan itu serius.

“Mahkamah mendapati tiada alasan kukuh untuk memberikan jaminan. Oleh itu permohonan jaminan ditolak,” kata hakim itu, yang kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun.

Semalam Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April lepas.

- Bernama

Lihat Komen