malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Ayunan' berubah di KKB, Kamal: Tak mustahil kerajaan bertukar
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 8:55 AM
Dikemaskini: 1:18 AM
ADS
2

PRK KKB | Seorang pemimpin kanan PAS dilaporkan bercakap mengenai kemungkinan berlaku perubahan kerajaan jika PN berjaya merampas kerusi DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Dipetik portal rasmi parti itu, Timbalan Pengerusi Tetap PAS Pusat, Kamal Ashaari, berkata mengikut situasi di atas kertas sesiapa pun yang memenangi pilihan raya kecil (PRK) bulan depan, kedudukan kerajaan negeri akan kekal.

Bagaimanapun, katanya, jika calon kerajaan dapat dikalahkan ia bakal menjadi "referendum" dan isyarat kepada perubahan tersebut. Namun dia menjelaskan bahawa perubahan tersebut boleh terjadi "mengikut kaedah semasa."

"Tak mustahil sekiranya berlaku kemenangan kepada kita (PN) di Kuala Kubu Bharu, kerajaan boleh bertukar mengikut kaedah semasa selepas kita menawan kerusi berkenaan," katanya dipetik harakahdaily.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh penamaan calon bagi PRK yang diadakan ekoran kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lalu.

Pengundian awal untuk pengundi tertentu diadakan pada 7 Mei sebelum diikuti dengan pengundian umum pada 11 Mei.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Ogos tahun lalu mendiang Lee mempertahankan kerusi tersebut dengan memperoleh 14,862 undi dan dijarakkan dengan 4,119 undi daripada pencabar terdekat, Teoh Kien Hong (Gerakan-PN).

Beri kesan kepada peniaga

Selain Lee dan Teoh, kerusi berkenaan turut ditandingi calon Muda dan Parti Rakyat Malaysia.

Berbanding jumlah pemilih berdaftar seramai 40,015 pada PRN lalu, bilangan tersebut menunjukkan seikit peningkatan apabila data dikeluarkan SPR untuk PRK kali ini ialah seramai 40,226 melibatkan 39,362 orang pengundi biasa, 238 anggota tentera dan pasangan, 625 polis dan seorang pengundi luar negara.

Mengikut tradisi kerusi Kuala Kubu Bharu merupakan kawasan diwakili MCA-BN sebelum ia dimenangi DAP-PH melalui Lee sejak PRU ke-13 (2013).

PH malam tadi mengumumkan kerajaan perpaduan akan diwakili Pang Sock Toa manakala PN belum mendedahkan pertaruhan mereka. Bagaimanapun sumber memberi bayangan Gerakan tidak akan diberikan kerusi berkenaan seperti pada tahun lalu.

Pang Sock Tao

Kamal berkata tinjauan yang dilakukan pihaknya menunjukkan berlaku "ayunan" sokongan kepada PN yang semakin kuat, termasuk dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Menurut ahli parlimen Kuala Krau itu lagi, tinjauan tersebut dilakukan melalui media sosial.

"Apa yang kita lihat berdasarkan tinjauan semasa melalui media sosial, kita (PN) lihat bahawa ayunan pengundi kepada PN semakin kuat.

"Bukan saja khusus kepada pengundi Melayu tetapi ayunan perpindahan sokongan dapat juga dikesan melalui pengund bukan Melayu," katanya.

Ditanya faktor yang menyumbang kepada perubahan ayunan tersebut, Kamal berkata, ia disebabkan peningkatan kos sara hidup serta ekonomi yang seolah-olah tidak ada perubahan.

Kerajaan pula, katanya, dilihat tidak ada fokus untuk menaikkan ekonomi negara.

"Hanya bergantung kepada pelaburan luar negara yang kita lihat semakin menurun... lebih-lebih lagi dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit.

"Jadi faktor-faktor ini memberi kesan kepada para peniaga kaum Tionghua dan bukan Melayu untuk berpindah kepada PN (manakala) pengundi Melayu kekal bersama PN setakat ini," katanya.

DUN Selangor ketika ini mempunyai 56 kerusi, dan PH bersama BN menguasai 34 daripadanya, manakala baki 22 lagi dimenangi PN.

Lihat Komen
2