malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lapan mangsa nahas helikopter TLDM selamat dikebumikan
ADS

Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kesedihan ahli keluarga dan waris yang mengiringi perjalanan terakhir mangsa tragedi helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak di beberapa lokasi pengebumian di seluruh negara malam ini.

Suasana sedih dan pilu menyelubungi majlis pengebumian lapan daripada 10 jenazah mangsa nahas berkenaan, yang dijalankan mengikut istiadat pengebumian tradisi tentera laut dengan dihadiri ribuan ahli keluarga, kenamaan serta sanak saudara yang hadir memberi penghormatan buat kali terakhir.

Terdahulu, proses bedah siasat terhadap 10 mangsa berkenaan yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak selesai pada 2.20 petang hari ini dengan jenazah mangsa beragama Islam dibawa ke Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ipoh untuk solat jenazah.

Jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar, di Pulau Pinang malam ini yang turut dihadiri Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub.

Van membawa jenazah Muhammad Firdaus tiba di masjid itu pada 7.41 malam selepas disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi ketenteraan di kem berkenaan kira-kira 6 petang tadi.

Jenazah juruterbang TLDM Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, 37, dikebumikan kira-kira 10 malam di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Muda selepas disolatkan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati di ibu negara pada 8.20 malam

Suasana hiba menyelubungi pengebumian jenazah Wan Rezaudeen Kamal yang dikebumikan mengikut istiadat pengebumian TLDM ketika Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyerahkan Bendera Ensign (Panji-Panji TLDM) kepada isteri Allahyarham, Alia Amalina Md Noor.

Urusan pengebumian dua mangsa tragedi berkenaan di Perak pula selesai kira-kira 9.25 malam ini, melibatkan jenazah Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, di Tanah Perkuburan Islam Batu 10 Lekir, Lumut dan Jenazah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, 41, di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ulu Nor, Sungai Bayor, Selama.

Sementara itu, di Kedah, jenazah Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, 39, dikebumikan dengan penuh istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan pada 9.55 malam ini berhampiran kubur arwah ibunya, Ratipa Yahaya yang meninggal dunia Julai tahun lepas.

Jenazah Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sik Dalam, Sik, kira-kira 10.10 malam bersebelahan pusara ibunya, Fatimah Abdullah yang meninggal dunia Ogos tahun lepas.

Jenazah Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan kira-kira 11 malam yang sebelum itu disembahyangkan di Masjid At-Taufiqiah Kariah Taman Pinggiran Senawang.

Turut serta dalam solat jenazah ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut dikebumikan malam ini ialah jenazah Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM Komander Muhamad Amir Mohamad, 44, di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Labis, Johor.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut dalam kenyataan pula memaklumkan jasad mendiang Leftenan T. Sivasutan, 31, dibawa pulang ke kediaman keluarga di Sitiawan, Perak sebelum disemadikan esok (25 April).

Sementara itu, jasad mendiang Laskar Kanan JJM Joanna Felicia Rohna, 26, yang diterbangkan menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tiba di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak pada 11.54 malam dan akan dibawa ke Serian untuk disemadikan.

Dalam kejadian 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM maut dalam tragedi dua helikopter terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

- Bernama

Lihat Komen