malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lapan jenazah nahas helikopter disolatkan, diberi penghormatan akhir
ADS

Jenazah lapan mangsa nahas helikopter terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut semalam, selesai disembahyangkan dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh kira-kira 6 petang ini.

Van yang membawa jenazah mangsa beragama Islam itu tiba di kem berkenaan pada 4.50 petang sebaik proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh selesai pukul 2.20 petang, sebelum dimandi dan dikafankan.

Jenazah lapan pegawai dan anggota TLDM itu disembahyangkan di Surau Jumaat Salahudin Al-Ayubi Kem 23 RAMD yang diimamkan Pegawai staf 1 agama Markas Tentera Laut Lt Kol Ahmad Kamil Abdullah.

Sementara itu, suasana pilu dan hiba menyelubungi istiadat berkenaan dengan kehadiran waris mangsa yang mengiringi perjalanan terakhir wira negara itu.

Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dan Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayub.

Lapan jenazah itu ialah Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar, Komander Muhammad Firdaus Ramli, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, Pegawai Waran II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun dan Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Usai istiadat itu, jenazah dibawa ke destinasi yang dimohon oleh waris masing-masing untuk dikebumikan.

Sementara itu, dua jasad bukan Muslim iaitu Leftenan Sivasutan Thanjappan dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna masing-masing akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Serdang Sitiawan dan diterbangkan ke Serian, Sarawak.

Dalam kejadian 9.32 pagi semalam, 10 anggota dan pegawai TLDM maut apabila dua helikopter terhempas ketika raptai lintas hormat bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

- Bernama

Lihat Komen