malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Suspek kes tembak KLIA mengaku tak bersalah atas 7 dakwaan
ADS

Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), Hafizul Hawari, 38, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tujuh pendakwaan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Tertuduh membuat pengakuan itu sebaik setiap pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan hakim Nik Habri Muhamad.

Kes dikendalikanTimbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang juga pengurus syarikat agensi pelancongan didakwa memiliki senjata api jenis pistol tertulis Glock 19 Austria, Made in Turkey yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 [Akta 37] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Pertuduhan kedua pula, dia didakwa memiliki 33 butir amunisi atau peluru PMC 380 AUTO tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 [Akta 206] boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, Hafizul didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga keping kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan per 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun atau dengan denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Dalam pertuduhan terakhir, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Civic, warna Putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dihukum di bawah akta sama. Kesalahan itu boleh didenda tidak kurang RM5,000 sehingga RM20,000 atau penjara satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau kedua duanya sekali.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Jenis Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di Kota Bharu, jam 2 petang, pada 15 April 2024.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap semua pertuduhan dan memohon tertuduh menjalani perintah tahanan reman di penjara Sungai Buloh.

Namun tertuduh merayu mahkamah membenarkan dirinya diikat jamin dan dalam rayuannya menyatakan dia perlu membuat panggilan telefon untuk menghubungi keluarga bagi lantikan peguam.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan tertuduh juga mempunyai kes lain di Selangor,namun bagi tiga pertuduhan iaitu memiliki kad pengenalan individu lain boleh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pertuduhan nombor pendaftaran palsu juga RM10,000.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh ditahan reman di Penjara Sungai Buloh dan menetapkan 23 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini suspek berkenaan disyaki melepaskan tembakan di KLIA yang terkena kepada seorang lelaki yang juga pengawal keselamatan peribadi isterinya.

Suspek kemudiannya melarikan diri kira-kira 36 jam sebelum berjaya dikesan dan ditangkap.

Lihat Komen