malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adam jawab Pemuda PAS: Ada orang sasau lepas hilang kuasa
Diterbitkan:  Apr 23, 2024 3:56 PM
Dikemaskini: 7:56 AM
ADS

PRK KKB | Beberapa jam selepas diramalkan bakal 'berkubur' di Kuala Kubu Bharu, Pemuda PKR sebaliknya mencabar seteru politik mereka itu untuk melakukan sesuatu yang dianggap langka.

Menjelang pilihan raya kecil itu nanti, kata ketuanya, Adam Adli Abd Halim, PKR mencabar Pemuda PAS dan PN untuk berkempen tanpa mengapi-apikan sentimen penduduk Kuala Kubu Bharu.

Sebaliknya kata Adam Adli, pembangkang boleh mengkritik dasar yang dilaksanakan kerajaan serta isu ekonomi sama ada secara mikro atau makro.

"Kami harap Pemuda PAS dan rakan-rakan sebelah sana (pembangkang), cuba untuk sekali ini agar berkempen tanpa perlu mengapi-apikan masyarakat dengan kebencian dan adu domba, apa lagi main isu kaum dan tunggang agama.

"Biar rakyat menilai dari sudut keupayaan mentadbir dan menguruskan negeri atau negara.

"Jangan ajak rakyat berfikir guna kaca mata sempit perkauman dan agama yang tak membawa untung apa pun buat rakyat. Tak perlu serang dan fitnah peribadi pemimpin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden menjangkakan pengundi Kuala Kubu Bharu akan menguburkan kerjasama BN-PH dalam pilihan raya kecil (PRK) pada 11 Mei ini.

Alasan yang digunakan ahli parlimen Alor Setar itu ialah, PH didakwanya sudah dijangkiti 'penyakit' bawaan BN.

Semua kerja tak jadi

Kempen PRK Kuala Kubu Bharu akan bermula secara rasmi pada Sabtu ini apabila penamaan calon berlangsung sebelum pengundi membuat pilihan pada 11 Mei.

Kerajaan perpaduan akan diwakili calon dari PH, manakala PN selaku pembangkang belum memberikan sebarang bayangan calon yang akan diketengahkan.

Untuk rekod pada pilihan raya negeri pada 2023 kerusi Kuala Kubu Bharu ditandingi calon Gerakan, Teoh Kien Hong, bagi pihak PN. Bagaimanapun Teoh kalah kepada mendiang Lee Kee Hiong dengan perbezaan 4,119 undi.

Lee memperoleh 14,862 undi.

Menyentuh mengenai isu 'penyakit' disebut Afnan Hamimi, Adam Adli berkata, memang ada masalah tertentu dialami oleh seseorang atau pihak yang kehilangan kuasa.

"Ada yang jadi sasau sebab tak tahu nak buat apa apabila tak ada kuasa. Pemimpin jadi rosak. Mula hilang arah sampai nak tebuk atap. Rakyat pun meluat dan hilang rasa hormat.

"Penyakit ini perlu dijauhi dan dimusuhi oleh pemimpin," katanya.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

Selain itu, kata timbalan menteri belia dan sukan berkenaan, ada satu lagi penyakit yang juga berbahaya iaitu gemar menunggang politik perkauman dan agama.

'Penyakit' itu, kata Adam Adli, juga cepat merebak dan susah untuk dirawat.

"Kesannya, rakyat jadi berpecah-belah dan hidup dalam wasangka. Apa kerja pun tak jadi," katanya.

Pada masa sama dia menegaskan, Pemuda PAS boleh membuat apa saja dakwaan kepada kerajaan namun pada akhirnya rakyat perlu diberi peluang membuat keputusan berdasarkan fakta dan dasar yang dibawa kerajaan.

"Bukannya dengan sentimen merosakkan dan politik adu domba," katanya.

Lihat Komen