malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun DAP bidas gesaan Perkasa supaya boikot Petronas
Diterbitkan:  Mar 28, 2024 1:03 PM
Dikemaskini: 7:22 AM
ADS

Adun Astaka, Jason Ng Thien Yeong menggesa kerajaan bertindak terhadap pihak yang menghasut hubungan kaum bagi mengelakkan masyarakat majmuk Malaysia yang asalnya harmoni dan aman dimusnahkan.

Merujuk kepada cadangan Perkasa supaya Petronas diboikot susulan langkah gergasi minyak dan gas itu melantik syarikat bukan Bumiputera untuk kontrak pemasangan panel solar, katanya, ugutan golongan ekstrim itu berasaskan sentimen kaum dan bukannya berasaskan kemampuan sesebuah syarikat.

Jason Ng Thien Yeong

“Jika cadangan keterlaluan dan regresif Perkasa itu diterima, maka syarikat dan pelabur asing akan hilang keyakinan terhadap pasaran Malaysia.

“Ugutan Perkasa untuk memboikot Petronas selama seminggu adalah cubaan untuk mencari populariti dan mengaut ‘political mileage’ mengikut trend boikot yang semakin serius di negara kita.

“Mujurlah cadangan ini telah ditolak oleh Petronas dan kebanyakan rakyat Malaysia yang lain,” kata Ng dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemimpin DAP itu berkata, Solarvest yang telah diberi kontrak pemasangan panel solar oleh Petronas adalah sebuah syarikat awam tersenarai yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan tenaga baharu. 

Kepakaran mereka, menurutnya bukan sahaja membolehkan mereka mendapat kontrak daripada Petronas, tetapi juga mempunyai projek-projek penjanaan tenaga solar yang lain termasuk dengan Tenaga Nasional Berhad.

“Saya menghargai Petronas yang telah mengeluarkan kenyataan tegas dengan menyatakan bahawa pemberian kontrak adalah berdasarkan merit dan tidak akur dengan ugutan Perkasa.

“Malah, majoriti rakyat Malaysia turut menolak cadangan tersebut dan membuktikan amalan perkauman yang ekstrim masih ditolak di dalam negara kita.

“Saya menggesa kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menghasut hubungan kaum bagi mengelakkan masyarakat majmuk Malaysia yang asalnya harmoni dan aman dimusnahkan oleh golongan ekstrim ini,” kata Ng lagi.

Semalam, bekas pengerusi Perbadanan Mara, Akhramsyah Sanusi berkata pemain bumiputera dalam industri tenaga solar wajar bersuara menentang keputusan Petronas.

Katanya, Petronas terkhilaf bukan kerana ia akhirnya menganugerahkan kontrak kepada Solarvest Energy tetapi kerana berbuat demikian dalam tender tertutup yang tiada satu pun daripada tiga syarikat yang dijemput untuk membida adalah milik bumiputera.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz pada 15 Mac lalu dipetik Bernama sebagai berkata pemilihan itu adalah berdasarkan merit dan terdapat piawaian teknikal yang membawa kepada kontrak siap guna.

Sebelum ini, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) juga menyatakan kekesalan terhadap Petronas yang melantik syarikat bukan bumiputera bagi pemasangan sistem solar di 300 stesen minyaknya.

Lihat Komen