malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Firdaus Wong lapor polis dakwa difitnah, ugut bunuh
Diterbitkan:  Mar 28, 2024 10:46 AM
Dikemaskini: 2:46 AM
ADS

Pendakwah Firdaus Wong memaklumkan dia telah memfailkan enam laporan polis semalam berhubung ugutan bunuh dan dakwaan fitnah.

Firdaus berkata semua laporan telah dibuat di balai polis Wangsa Maju terhadap lima individu, menegaskan tindakan ini "sebagai permulaan".

"Satu laporan ugutan bunuh terhadap saya dan ahli keluarga.

"Satu laporan ugutan pukul dan selebihnya adalah kerana memfitnah saya,” katanya pada satu hantaran di media sosial.

Firdaus yang juga pemilik The Merdeka Times berkata dia akan memfailkan saman fitnah terhadap mereka yang didakwa memfitnahnya itu.

"Saya sering nasihatkan sahabat jangan bertindak di luar batasan agama dan undang-undang so let me walk the talk as well dengan membiarkan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka semua," katanya lagi.

Minggu lepas, Firdaus menjelaskan dia tiada motif peribadi dalam isu kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah di KK Mart.

Dia berkata demikian susulan gambarnya di depan kedai serbaneka miliknya, MyKampung Freshmart kembali disebarkan di media sosial.

Ini selepas beberapa pihak mendakwa presiden Multiracial Reverted Muslims (MRM) itu ada kepentingan sendiri ketika membangkitkan isu stoking tersebut.

Bagaimanapun Firdaus berkata tujuannya membuat hantaran berkenaan isu stoking itu bukan untuk mensabotaj KK Mart mahupun atas dasar persaingan prniagaan, memandangkan MyKampung Freshmart sudah dihentikan operasi pada dua tahun lalu.

Kontroversi tercetus apabila gambar stoking yang tertera perkataan “Allah” dan dijual di kedai KK Mart Bandar Sunway, tular di media sosial.

Susulan kekecohan itu, KK Mart mengeluarkan permohonan maaf kepada semua pelanggannya, khususnya masyarakat Islam, dan mengesahkan bahawa tindakan segera telah diambil untuk menghentikan penjualan stoking berkenaan.

Ini termasuk menamatkan kontraknya dengan Xin Jian Chang Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Batu Pahat, Johor.

Pembekal itu sebaliknya menyalahkan Mu Mian Qing Hosiery kerana tersilap menghantar stoking berkenaan, di mana mereka kemudiannya telah terlepas pandang produk tersebut.

Pihak polis ketika pemeriksaan ke atas kilang Xin Jian Chang hanya menemui lima pasang stoking tertera kalimah “Allah”, yang kesemuanya telah ditarik balik dari KK Mart.

Pada 26 Mac, pengarah KK Mart dan pembekal stoking didakwa di mahkamah atas tuduhan melukakan perasaan orang Islam.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Chai dan Loh yang merupakan pengarah syarikat terbabit didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan itu dijalankan di hadapan hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Tiga individu lain yang merupakan pengarah syarikat Xin Jiang Chang Sdn Bhd - yang membekalkan stoking tertera kalimah Allah kepada KK Mart - turut dikenakan pertuduhan.

KK Mart saman pembekal stoking

Goh Li Huay, Soh Hui San dan Soh Chin Huat yang didakwa bersubahat dengan KK Mart dan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 298.

Ketiga-tiga mereka yang mempunyai pertalian antara satu sama juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Seksyen 298 itu membabitkan perbuatan menyebut perkataan atau sebagainya dengan sengaja dengan niat mahu melukakan perasaan agama seseorang.

Selain individu, pihak pendakwaan turut mendakwa KK Mart dan Xin Jiang Chang sebagai entiti dalam kes itu.

Dalam perkembangan berkaitan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mac lalu terhadap syarikat pembekal stoking tertera kalimah Allah, Xin Jian Chang Sdn Bhd (Xin Jian Chang), dan pengarahnya Soh Chin Huat.

Melalui tindakan undang-undang itu KK Supermart membuat tuntutan keseluruhan sekurang-kurangnya RM38 juta, termasuk melibatkan aspek kerosakan jenama dan pembatalan cadangan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Lihat Komen