malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tiga ketua cabang PKR Kelantan isytihar keluar parti
ADS

Tiga ketua cabang PKR di Kelantan hari ini mengisytiharkan keluar parti selepas tidak berpuas hati dengan keputusan parti itu memecat timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali dan naib presiden, Zuraida Kamaruddin.

Mereka ialah Ketua Cabang PKR Ketereh, Ab Aziz Ab Kadir, Ketua Cabang PKR Rantau Panjang, Hafizan Nazir dan Ketua Cabang PKR Kubang Kerian yang juga Ketua Wanita PKR negeri, Nor Hanazalmah Yusof.

Perkara itu diumumkan dalam satu sidang media di majlis yang diberi nama 'Selamat Tinggal PKR' di Kota Bharu hari ini.

Dalam sidang media itu, Ab Aziz berkata keputusan keluar parti itu turut disertai oleh seramai 300 ahli PKR di Kelantan.

Beliau juga mendakwa dua pertiga atau kira-kira 10,000 ahli PKR Kelantan akan mengikut jejak langkah sama, sekali gus melumpuhkan PKR negeri.

"Sebagai orang yang terawal bergelumang dengan parti itu terutamanya di Kelantan, saya kesal dengan parti yang diperjuangkan selama ini yang dilihat jauh tersasar dengan matlamat asal penubuhannya.

"Ini dikuatkan lagi dengan kegagalan pucuk pimpinan terutamanya presiden parti yang jelas terbukti gagal mengawal dan menguruskan parti berlandaskan prinsip keadilan yang sebenar.

"Perkara ini dapat dibuktikan lagi dengan sikap dan cara presiden yang hanya mementingkan kelompok tertentu dan meminggirkan yang lain terutama pejuang asal parti yang berkorban sepanjang 20 tahun lalu," katanya.

Pada majlis itu, mereka turut membuat gimik menanggalkan baju PKR sebagai simbolik keluar parti secara beramai-ramai.

Sementara itu, Ab Aziz berkata, keretakan yang berlaku dalam parti juga dilihat berpunca daripada pemilihan parti yang didakwanya caca marba dan tidak telus selain memberi kelebihan kepada sesetengah calon pilihan presiden.

"Setelah saya mempertimbangkan sematangnya, saya memilih untuk setia kepada bekas timbalan Presiden dan naib presiden yang dipecat parti dan istiqomah menurut hala tuju mereka yang hingga saat ini terbukti sebagai pemimpin yang peduli kepada anggota bawahan," katanya.

Beliau berkata, keputusan keluar parti itu dibuat secara rela hati tanpa sebarang paksaan kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Presiden parti.

"Namun tanggungjawab dan semangat menjaga kebajikan rakyat diteruskan dengan bergerak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Penggerak Muafakat Nasional Kelantan," katanya.

Pada 24 Feb lalu, PKR memecat Azmin dan Zuraida kerana didakwa melakukan pengkhianatan terhadap parti itu, dalam apa yang didakwa sebagai usaha menubuhkan sebuah pakatan politik baru.

Lihat Komen