malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Fitnah penulis 50 Dalil: Harakah kemuka rayuan
ADS

Harakah akan kemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah semalam yang mengarahkannya dan tiga lagi defendan membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Khalid Jafri Bakar, penulis buku kontroversi 50 Dalil Mengapa Anwar Ibrahim Tidak Boleh Jadi PM .

Pengarang Harakah Zulkifli Sulong dinamakan bagi pihak akhbar itu. Tiga lagi defendan, bekas pengarang bahagian bahasa Inggeris, Muhammad Abdul Rahman Koya, PAS sebagai pemilik akhbar tersebut dan syarikat percetakan Prema. Setiap pihak berkongsi tuntutan saman sebanyak RM50,000 seorang.

Sabri Zain, penulis rencana 'Malaysia Sweeps 10 Oscar' (Malaysia Sapu 10 Oskar) yang diterbitkan dalam lidah rasmi parti itu pada 29 Mac 1999, gagal hadir perbicaraan dalam kes saman tersebut. Mahkamah telah mengeluarkan perintah penghakiman ingkar kepadanya 2 September lalu.

Zulkifli hari ini menjelaskan Harakah dan PAS telah mengarahkan peguam mereka, Mohamed Hanipa Maidin merujuk kes itu kepada Mahkamah Rayuan.

Wartawan kanan yang tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan kes saman berhubung akhbar itu berkata "kita saman orang, (kita) kalah. Orang saman kita, pun kalah."

Zulkifli memaklumkan hakim yang sama turut mengadili keputusan saman Harakah terhadap syarikat penyiaran TV3 bulan lalu. PAS gagal dalam tuntutannya itu.

"TV3 mendakwa Harakah berkata PM (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) murtad, tetapi kita tidak pernah kata (tulis)," tambahnya, dan menambah kes itu turut dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Apabila dihubungi, Mohamed Hanipa memberitahu pihaknya sedang menunggu arahan bertulis daripada anak guamnya berhubung rayuan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk RK Nathan memutuskan artikel itu telah mencemarkan maruah penulis itu.

"Perkataan yang ditulis, diterbitkan dan dicetak mengenai Khalid dalam akhbar itu menyebabkan beliau dibenci, diperli dan dimalukan. Saya juga mendapati ia berunsur fitnah," katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Khalid mendakwa defendan dengan niat jahat dan mencemar nama baiknya apabila menerbitkan rencana itu yang bermaksud beliau seorang kaki gaduh, penjahat, samseng dan menipu orang ramai dengan mengaku sebagai penulis buku Pulp Dalil (Dalil Picisan).

Beliau juga sebelum itu mendakwa pada 22 April tahun itu, peguamnya Shamsul Bahrain Ibrahim meminta defenden menarik balik artikel berkenaan tetapi tidak diendahkan oleh mereka.