malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Bincang dengan PAS tiada kaitan dengan HARAPAN'
ADS

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mempertahankan perbincangan partinya dengan PAS, walaupun tidak disenangi sekutu lain dalam Pakatan Harapan.

“Pada asasnya, saya sedang berbincang dengan PAS. Ini adalah inisiatif PKR, tidak ada kena mengena dengan Pakatan Harapan.

“Saya tidak boleh mewakili Pakatan Harapan, keputusan ini dibuat oleh PKR untuk mengekalkan dan meneruskan perbincangan dengan PAS,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lembu Qurban di Masjid At-Taqwa, Selayang Baru, Gombak hari ini.

Azmin dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini bertemu dengan Hadi, Sabtu lagi.

Azmin mengakui sedang mengadakan perbincangan “sangat tidak rasmi” dengan parti itu, walaupun PAS telah memutuskan kerjasama politik mereka dengan PKR.

Bagaimanapun tindakan Azmin itu tidak disenangi sekutunya dalam HARAPAN serta beberapa pimpinan PAS yang lain.

Parti Amanah Negara (AMANAH) menuntut perkara itu dimaklumkan kepada kepimpinan tertinggi HARAPAN terlebih dahulu sebelum tindakan diambil.

Manakala ADUN Pasir Pinji (DAP) Howard Lee pula berpendapat lawatan sosial PKR dan PAS dialu-alukan, namun sekiranya terdapat rundingan antara kedua-dua parti, ia adalah perkara serius.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pula melihat penuh ragu terhadap kemungkinan kerjasama dengan HARAPAN.

Beliau tidak yakin HARAPAN sebagai wadah yang mampu menyelamatkan negara daripada pelbagai kerosakan ekonomi, politik dan sosial melalui pendekatan Islam.

Malah, menurut beliau tindakan HARAPAN yang mendekati PAS hanyalah mahu menggunakan jenteranya bagi menghadapi pilihan raya umum tidak lama lagi.

Lihat Komen