malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Jabatan Keadilan AS tak adil
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 12:25 PM
Dikemaskini: 4:27 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan prinsip keadilan sebenar kerana cuba mensensasikan isu dengan kenyataan provokatif.

Katanya, jawapan balas DOJ dalam siasatan 1MDB kepada Malaysiakini menyebut mereka tidak boleh mengatakan seseorang itu bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

Namun, katanya, badan itu sendiri yang membuat andaian tanpa menamakan sesiapa dan tahu pembangkang akan menggunakan kenyataan mereka, lapor Utusan Malaysia.

“Jadi hari ini terbukti DOJ cakap tidak serupa bikin apabila mereka kata tidak boleh sesiapa pun buat andaian tetapi badan itu sendiri membuat macam-macam andaian. Seperti juga kes saman sivil pertamanya pada tahun lepas dengan membuat pelbagai andaian melalui sidang akhbar.

“Mereka sendiri yang membuka ruang untuk orang membuat spekulasi. Tindakan DOJ ini berkemungkinan untuk memberi kelebihan kepada pembangkang demi memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Inilah yang dikatakan ramai pihak apabila mereka kata ada unsur campur tangan hanya untuk memburuk-burukkan Malaysia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Sebelum ini Malaysiakini cuba menghubungi DOJ bagi mendapatkan maklum balas mengenai perincian siasatan DOJ itu, bagaimanapun wakil jabatan tersebut enggan mengulas lanjut mengenai siasatan itu, termasuk "sama ada siasatan bersifat jenayah ataupun mengenai skopnya".

DOJ turut mengesahkan bahawa siasatan ke atas dana yang didakwa diselewengkan dari 1MDB masih berterusan.

Ia menjawab kenyataan Rahman yang mengatakan DOJ memberi gambaran seolah-olah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam salah laku jenayah dengan mengaitkannya dengan berlian yang didakwa dibeli menggunakan dana yang disalahgunakan dari 1MDB, walaupun ia tidak berniat untuk merampas barang kemas tersebut.

DOJ memberitahu Malaysiakini menerusi emel bahawa undang-undang menghendakinya menyatakan fakta yang cukup terperinci untuk membuktikan satu kepercayaan yang munasabah bahawa ia akan menang dalam perbicaraan.

Rahman yang juga pengarah komunikasi strategik BN turut mempersoalkan jika DOJ benar-benar sebuah badan keadilan antarabangsa, mengapa jawapan balas itu hanya eksklusif kepada Malaysiakini.

Ketika DOJ memfailkan saman sivil pertama pada Julai 2016 lalu, pihak berkuasa AS itu menamakan beberapa individu secara langsung atau tidak dalam usaha mereka merampas sejumlah aset didakwa diperoleh melalui cara yang salah.

DOJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM15 bilion) dana 1MBD disalahgunakan untuk mendapatkan aset terbabit.

Selain nama Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz, DOJ menyebut seseorang dengan hanya rujukan Malaysian Official 1 (MO1). Malah nama berkenaan dipetik DOJ sebanyak 36 kali dalam dokumen setebal 136 halaman itu.

Rahman pada September mengesahkan MO1 yang disebut dalam dokumen berkenaan ialah Najib.

"Tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1, hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu," katanya.

Bagaimanapun anggota parlimen Kota Belud, Sabah itu menegaskan, tanpa nama Najib dinyatakan dalam dokumen berkenaan, perdana menteri tidak tertakluk kepada siasatan AS.

Lihat Komen