Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempersoalkan kewajaran Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat "membuat kesimpulan" walaupun mengakui bahawa siasatan terhadap 1MDB masih berterusan.
Oleh itu, menteri itu bertanya-tanya sama ada kemungkinan saman pelucuthakan DOJ itu ada kaitan dengan pilihan raya umum akan datang.
"Persoalannya mengapa DOJ menerbitkan laporan setengah masak yang belum selesai?" soalnya dalam satu siri tweet petang ini.
"Adakah kerana pilihan raya semakin hampir dan beberapa pihak yang terdesak memerlukan bantuan?" soalnya.
Is it because the election is around the corner and some desperate quarters need a leg-up?
— Abdul Rahman Dahlan (@mpkotabelud) June 21, 2017
Mengenai keputusan DOJ yang mengesahkan mereka tidak merancang untuk merampas 28 barangan kemas yang diterima oleh "isteri Malaysian Official 1 (MO1)”, Abdul Rahman menyoal: "Mengapa? Tidak ada bukti?”
(2) DoJ confirms it wont seize jewellery named in its civil suit. Why? Non proof? Weak case?
— Abdul Rahman Dahlan (@mpkotabelud) June 21, 2017
Dalam tweetnya, menteri itu juga memetik kenyataan DOJ bahawa "tidak ada kesimpulan seharusnya dibuat, berhubung beberapa individu atau entiti semata-mata kerana mereka dinamakan dalam dokumen itu."
(3) DoJ says "no conclusions should be drawn, one way or another..."
— Abdul Rahman Dahlan (@mpkotabelud) June 21, 2017
Semalam, Abdul Rahman menyebut nama isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor apabila ditanya jika tindakan DOJ itu tidak adil kerana menjadikannya sebagai sasaran.
Ini berkaitan dengan keperluan untuk menyebut "isteri MO1" dalam saman tersebut sedangkan DOJ tidak berhasrat untuk merampas barangan kemas, yang didakwa dibeli untuknya oleh ahli perniagaan Jho Low dengan menggunakan dana yang diselewengkan dari 1MDB.
Saman DOJ mendakwa bahawa antara 28 item barangan kemas itu termasuk kalung berlian 22 karat merah jambu bernilai AS$27.3 juta.
Namun, DOJ sedang berusaha untuk merampas barangan kemas bernilai kira-kira AS$10 juta yang dibeli oleh Jho Low dengan menggunakan dana 1MDB yang dicuri untuk model Australia Miranda Kerr dan ibunya.
Berikutan pemfailan pertama DOJ tahun lalu, Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib tetapi berhujah bahawa memandangkan beliau tidak dinamakan dalam dokumen itu, perdana menteri tidak disiasat.
Penyokong kerajaan menuduh mendalangi saman terbaru DOJ itu, manakala Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menuduh Amerika Syarikat cuba menamatkan pemerintahan orang Islam di Malaysia.