malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Siasat bayaran pada Yayasan Clinton untuk jatuhkan Najib'
ADS

Sebuah NGO pro-Melayu hari ini menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan sebuah blog mengenai komplot menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui skandal 1MDB.

Presiden Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata, tuduhan oleh pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin itu membabitkan bayaran kepada Yayasan Clinton sebanyak AS$ 5 juta.

Dakwanya, bayaran itu digunakan bagi melobi Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat agar menggunakan isu itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.

"Mereka (DOJ) telah dibayar melalui Clinton Foundation sebanyak AS$5 juta yang digunakan DOJ untuk membawa isu menjatuhkan perdana menteri dan menghuru-harakan Malaysia," dakwanya.

Razali berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya selepas membuat laporan hari ini.

Raja Petra dalam blognya 18 Jun lalu mendakwa Ketua Pemuda BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertemu pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin 20 bulan sebelum DOJ memfailkan saman bagi merampas aset yang didakwa disalahgunakan dari wang 1MDB.

Penulis blog yang kini berada di United Kingdom itu juga mendakwa Syed Saddiq memberitahu tiga ahli exco Pemuda BERSATU bahawa RM50 juta dibelanjakan bagi menjayakan saman berkenaan.

“Yayasan Clinton menerima AS$5 juta, atau kira-kira RM22 juta dari RM50 juta itu, dan Daim menguruskan bayaran melalui ‘orang tengah’,” kata Raja Petra, memetik seorang ahli exco yang tidak dinamakan.

Menafikan dakwaan itu, Syed Saddiq berkata beliau tahu siapa sumber Raja Petra dan mendakwa mereka sudah "dibeli" Umno.

“Itu sebahagian dari taktik Raja Petra untuk mengalihkan perhatian rakyat dari sesuatu yang lebih besar. Saya fikir beliau mendekati tiga ahli exco yang sudah menjual maruah mereka kepada Umno-BN, dan mereka hanya bersetuju dengan apa sahaja dakwaan yang beliau berikan," kata Syed Saddiq.

Sementara itu, GMPN turut membuat satu laporan berhubung dakwaan salahguna kuasa oleh ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Laporan itu, katanya dibuat berdasarkan aduan penduduk mengenai kelulusan bazar Ramadan di Taman Kajang Impian

"GMPN sekali lagi membuat laporan kepada SPRM dan juga menghantar bukti untuk SPRM siasat dan terpulang kepada SPRM untuk menyiasat berhubung salah guna kuasa MPKj," tambah Razak.

 

Lihat Komen