malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Apakah nilai berlian untuk isteri MO1?
Diterbitkan:  Jun 18, 2017 6:02 PM
Dikemaskini: 10:15 AM
ADS

PANDUAN BERITA | Dengan pendedahan terbaru Jabatan Kehakiman (DOJ) mengenai 1MDB, berlaku peningkatan minat ketara terharap barang kemas didakwa dibeli menggunanakan dana daripada agensi pelaburan milik kerajaan itu.

Antara barang yang paling menonjol disebut pihak berkuasa AS dalam saman sivil terkini mereka membabitkan 1MDB ialah sejumlah barangan kemas.

Harga barang kemas itu adalah pelbagai, daripada AS$1.05 juta (RM4.5 juta) untuk sepasang anting-anting berlian 11 karat kepada loket dan rantai leher berlian merah jambu 22.17 karat bernilai AS$27.3 juta (RM116.75 juta).

Ada apa dengan barang kemas berlian yang sangat mahal itu dan apakah yang menentukan harga sesuatu berlian?

Panduan berita ini cuba menunjukkan bagaimana setiap berlian itu dinilai, butiran megenai berlian paling mahal dan terkenal di dunia serta bagaimana berlian disebut dalam dokumen DOJ itu.

Apakah jenis-jenis berlian yang ada?
Ada dua jenis utama berlian, iaitu berwarna putih atau tidak berwarna, dan berlian berwarna-warni.

Menurut Institut Gemologikal America (GIA), hanya ada satu daripada setiap 10,000 berlian memiliki warna yang menarik.

Adakah berlian berwarna lebih mahal berbanding tanpa warna/putih?
Jawapan ringkas ialah: tidak semerstinya begitu.

Jawapan panjang ialah: walaupun kelangkaan adalah faktor yang menentukan nilai sesuatu berlian, warna hanyalah satu daripada aspek yang menyumbang kepada nilai bahan itu.

Pakar di seluruh dunia menggunakan sistem penggredan komprehensif untuk menentukan nilai sesuatu berlian.

Apakah sistem penggredan digunakan untuk menentukan nilai berlian?
Pada masa ini, standard universal yang digunakan pakar ialah sistem dibangunkan oleh GIA pada 1950, dikenali sebagai Sistem Gred Berlian Antarabangsa.

Sistem ini menilai berlian berdasarkan kepada '4C' iaitu warna, kejelasan, potong dan karat.

Bagaimana 4C memberi kesan kepada nilai berlian?
Warna: Berlian putih cenderung bernilai lebih tinggi berbanding berwarna. Menurut GIA, berlian dengan sifat tidak berwarna hingga kuning muda dan perang berada pada lingkungan harga normal.

Dalam julat itu, berlian tidak berwarna dianggap paling jarang ditemui, justeru ia adalah paling berharga.

GIA menyediakan skala dari D hingga Z sebagai standard industri untuk penggredan berlian berdasarkan warnanya.

Sementara itu, keadaan adalah amat berbeza untuk berwarna mewah dengan nilainya meningkat berdasarkan kepada ketepuan warna berlian.

Skala ketepuan untuk berwarna mewah adalah rencam, daripada "mewah ringan", "mewah", "mewah pekat" dan akhirnya "mewah kuat" yang paling mahal.

Menurut GIA, untuk berlian begitu, warnanya juga menjadi faktor dominan untuk menentukan nilainya, dengan warna paling jarang ditemui ialah merah jambu, biru dan hijau.

Kejelasan: Berlian mempunyai ciri-ciri dalaman yang dinamakan sebagai masukan dan potongan permukaan yang kedua-duanya boleh memberi kesan kepada kejelasan sesuatu berlian.

Semakin kurang masukan dan potongan permukaannya, semakin jelas berlian itu.

Berlian yang mempunyai kadar kejelasan tinggi dianggap lebih bernilai dan berlian "flawless" adalah paling mahal kerana ia sangat langka.

Kadar kejelasan juga memberi kesan lebih besar kepada nilai berllian biasa berbanding berlian dengan warna mewah.

Potongan: Sebagai panduan umum, semakin tinggi gred potongannya semakin cerah berlian itu, kata GIA.

Bagaimana sesuatu berlian itu dipotong akan memberi kesan bagaimana cahaya memasukinya. Berlian yang dipotong dengan baik menyebabkan ia nampak lebih cerah, bersinar dan semakin menarik.

Potongan berlian yang juga merujuk kepada bentuk berlian. Selain daripada pusingan bulat standard, terdapat juga bentuk lain yang dikenali sebagai potongan mewah.

Pemotongan mewah yang lebih popular termasuklah marquise, puteri, pear, bujur, jantung dan zamrud.

Berat karat: Semakin besar sesuatu berlian semakin tinggi nilainya. Bagaimanapun, perlu diingatkan ia tidak semudah menganggap berlian dua karat mempunyai nilai dua kali ganda berbanding berlian satu karat.

Menurut penjelasan GIA, berliau besar adalah lebih sukar ditemui berbanding yag kecil. Justeru semakin langka ia, maka nilainya lebih tinggi.

Maknanya, mahal sesuatu berlian yang besar bukan saja ditentukan oleh saiz fizikal, tetapi nilai per karat.

Jika semua faktor kualiti yang lain adalah sama, misalnya, berlian satu karat akan bernilai lebih mahal berbanding empat berlian 0.25 karat.

Ia terpakai untuk berlian biasa dan berlian berwarna mewah.

Apakah berlian paling mahal dan paling terkenal di dunia?
Bloomberg melaporkan pada April tahun ini, berlian paling mahal pernah dijual pada sesuatu lelongan ialah Pink Star - sebentuk berlian merah jambu 59.6 karat.

Permata berbentuk bujur yang warnanya dinilai sebagai merah jambu terang dijual pada harga lebih AS$71 juta (RM303.6 juta) dalam suatu lelongan di Hong Kong.

Salah satu berlian yang paling terkenal sepanjang zaman ialah Hope Diamond, sebentuk berlian biru 45.52 karat yang dikatakan berasal dari India.

Rekod pemilikannya bermula sejak hampir empat abad lalu dan Raja Louis XIV, keluarga tokoh perbankan London yang dikenali sebagai Hope dan saudagar permata New York, Harry Winston adalah antaranya.

Berlian itu - yang dianggarkan bernilai AS$200 juta hingga AS$250 juta kini dimiliki oleh Muzium Smithsonian dan dijadikan bahan pameran kekal.

Berlian perang dikenali sebagai Golden Jubilee pula adalah berlian dengan potongan dan permukaan terbesar di dunia dengan nilai 545.67 karat.

Dianggarkan bernilai antara AS$4 juta hingga AS$2 juta, ia dihadiahkan kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej sempena ulang tahun ke-50 pemerintahannya di Thailand.

Bagaimanakah berlian disebut dalam dokumen DOJ dibandingkan dengan sistem penggredan dan permata terkenal di dunia?

Menggunakan nombor laporan GIA terkanding dalam dokumen DOJ, Malaysiakini dapat mengesan laporan penggredan bagi beberapa berlian yang disebut.

Menurut laporan GIA, berlian merah jambu 22.17 karat - yang menjadi berlian terbesar dan paling mahal disenaraikan dalam dokumen DOJ - mempunyai gred kejelasan VS2 dan gred warna merah jambu amat mewah.

DOJ mendakwa bahawa Jho Low - melalui sekutunya Eric Tan - membayar AS$23 juta (RM98.4 juta) untuk berlian itu saja.

Kedua-dua mereka kemudian membayar AS$4.3 juta (RM18.4 juta) untuk rantainya yang turut dihiasi berlian-berlian lebih kecil. Set itu kemudian didakwa diberikan kepada isteri MO1.

Berlian 22.17 karat itu - yang kononnya dijual pada harga AS$ 23 juta - adalah setanding dengan beberapa berlian paling mahal pernah dijual pada mana-mana lelongan.

Berlian ke-10 paling mahal pernah dijual di acara lelongan dikenali sebagai "Perfect Pink". Ia merupakan berlian merah jambu 14.23 karat dengan potongan zamrud.

Ia telah dijual dengan harga AS$23.2 juta (RM99.2 juta) di Hong Kong pada 2010.

Sementara itu, salah satu berlian yang paling murah dalam pemfailan DOJ ialah sepasang anting-anting berlian 11 karat, yang terdiri daripada berlian 5.55 karat dan berlian 5.49 karat.

Low didakwa membayar kira-kira AS$1.05 juta (RM4.5 juta) untuk anting-anting itu yang dihadiahkan kepada supermodel Australia, Miranda Kerr.

Laporan GIA bagi kedua-dua berlian 5.55 karat dan 5.49 karat itu mendedahkan ia mempunyai gred warna D dan dianggap memiliki gred kejelasan dalaman sempurna.

Ia hanya dua daripada pelbagai barang kemas berlian dimasukkan dalam pemfailan DOJ.

Dengan berlian bernilai berjuta-juta, semudah mana atau sekerap mana ia digunakan dalam skim pengubahan wang haram?

Dalam laporan Emmanuel Mathias dan Bert Feys pada 2014 yang diterbitkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mereka menyatakan antara lain perdagangan batu permata dikaitkan dengan aliran haram wang haram dan rasuah.

Mereka berkata batu permata - yang mempunyai nilai yang tinggi - adalah padat dan mudah untuk diseludup.

Perdagangan batu permata juga, kata mereka, sering dijalankan secara tunai, boleh dirundingkan di seluruh dunia, tidak berbau, hampir tidak dapat dikesan dan boleh diperolehi tanpa memerlukan nama didedahkan untuk tujuan rekod.

Menurut agensi berpangkalan di Paris, Financial Action Task Force (FATF), pada 2014 perdagangan berlian digunakan di beberapa negara untuk aktiviti pengubahan wang haram.

Aktiviti sebegitu didapati berlaku di negara seperti India, Israel, Belgium, Kanada dan AS.

Pada awal April lalu Transparency International (TI) juga mengeluarkan kenyataan mengkritik kurangnya laporan mengenai aktiviti perdagangan batu berharga yang mencurigakan di pasaran berlian terbesar dunia, di Antwerp, Belgium sehingga 2014.

Keadaan itu berlaku, kata TI, ketika pasaran batu permata dikenal pasti berisiko tinggi untuk terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

[Baca berita asal]


Panduan berita ini disusun oleh Geraldine Tong.

Lihat Komen