ULASAN | Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba menangguk di air keruh dengan memfitnah secara liar Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dan 1MDB ekoran permohonan terbaru saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS.
Saman sivil DOJ tidak membuktikan mana-mana pihak telah melakukan jenayah. Sama seperti pendirian Peguam Negara Malaysia.
Ia difailkan berdasarkan aduan awam dan seperti kenyataan DOJ sendiri, ia tidak membuktikan bahawa sebarang dakwaan yang dibuat dalam aduan ini benar melainkan selepas mahkamah AS memutuskan ia adalah benar.
Jika DOJ mempunyai bukti prima facie mengenai setiap dakwaan, sudah tentu mereka akan membuat pendakwaan langsung terhadap penjenayah yang terlibat dan merampas aset-aset tersebut di bawah Akta Pengubahan Wang Haram AS dan undang-undang lain yang berkaitan.
Dalam saman sivil terbaru DOJ, 1MDB, Najib dan Rosmah bukan pihak yang tertuduh dan bukan defendan.
Dalam saman sivil ini pihak yang dinamakan sebagai defendan adalah Viceroy Hotel Group manakala pihak yang berkemungkinan terjejas dengan saman ini - seperti yang tertulis dalam dokumen 251 muka surat DOJ - ialah Low Taek Szen; JW Hospitality (VHG Intl) Ltd; FFP (Cayman) Ltd; Mubadala Development Company PJSC; Viceroy Hotel Group; dan Jynwell Capital Ltd.
Seperti selepas pengumuman pemfailan saman sivil kali pertama dulu, Muhyiddin sekali lagi telah membuat tuduhan melulu terhadap Najib, sedangkan saman sivil ini baru sahaja diperingkat fail.
Belum ada sebarang perbicaraan dibuat dan sudah tentu apabila belum ada perbicaraan, maka tiada pihak dibuktikan bersalah lagi oleh mahkamah AS.
1MDB menegaskan berulang kali bahawa wang syarikat tersebut tidak dicuri. Dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga mendapati tiada wang 1MDB dicuri.
Malah persetujuan penyelesaian luar mahkamah timbang tara bersama syarikat IPIC dari Abu Dhabi juga membuktikan bahawa wang 1MDB telah digunakan untuk urusan perniagaan.
Dikarang orang Malaysia
Tidak perlulah Muhyiddin mengulangi skrip lapuk yang telah berulang kali gagal membuktikan sebarang salah laku.
1MDB hari ini telah melalui proses rasionalisasi dengan baik dan berjaya melunaskan sebahagian besar hutangnya.
Projek hartanah 1MDB seperti TRX berjalan dengan lancar dan baru-baru ini bank antarabangsa HSBC bersetuju melabur RM1 bilion di sini, manakala projek Bandar Malaysia juga meningkat nilai pasarannya dan terdapat syarikat yang berminat melabur RM40 bilion di dalam projek ini.
Justeru, Muhyiddin tidak layak untuk membuat apa-apa komen terhadap perdana menteri dalam isu kenyataan DOJ yang terbaru ini.
Saya berkata sedemikian sebab wujud pendapat yang mengatakan dokumen DOJ tersebut dikarang orang Malaysia. Ini semua komplot hendak menjatuhkan perdana menteri sama saperti 'Rome Summit' yang pernah saya bongkar pada Mei 2015.
Muhyiddin perlu terlebih dahulu menjawab soalan yang ditimbulkan Exco Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mohamed Hafiz Azhar, mengenai skandal Nika Ghee. Hari ini genap setahun skandal Nika Ghee terbongkar.
Saya juga menyeru supaya Muhyiddin terlebih dahulu mengisytihar kekayaan kaum keluarganya sebelum mahu berlagak seperti seorang yang bermoral tinggi.
Jangan jadi seorang munafik sebab semua orang tahu sangat siapa beliau sebenarnya. Maka sebab itulah Pakatan Harapan pun menolak Muhyiddin.
DATUK MOHD PUAD ZARKASHI ialah anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.