malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Anak jantan’ Nazri elak wartawan hari ini
ADS

Selepas terpalit dengan isu berkaitan cukai perlancongan, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengelakkan diri daripada bertemu dengan petugas media.

Mohamed Nazri hari ini merasmikan Pameran Fotografi Islam di Matic Kuala Lumpur.

Selepas merasmikan acara itu, dan pengumuman bahawa sidang media akan diadakan selepas Mohamed Nazri meninjau dan melawat pameran berkenaan, wartawan dan jurugambar bersiap sedia.

Namun selepas setengah jam menunggu, menteri itu kemudian hanya melintasi petugas media dan menuju ke bilik lain.

Hal itu menyebabkan wartawan dan jurugambar terus menunggu di luar pejabatnya selama lebih dua jam sebelum seorang pegawainya memaklumkan menteri itu tidak berhajat mengadakan sidang media dan enggan berjumpa dengan wartawan.

Pada Ahad, 11 Jun lalu, Nazri menimbulkan rasa kurang senang bagi pemimpin politik di Sarawak dan Sabah apabila menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri 'setahun jagung'.

Ini berikutan gesaan Abdul Karim baru-baru ini agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Karim turut menyebut mengenai Perjanjian Malaysia dalam meminta cukai itu ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.

Mohamed Nazri bagaimanapun berkata, Abdul Karim tidak memahami perkara itu apabila mengatakan cukai berkenaan seharusnya menjadi urusan negeri.

Susulan itu, beliau dibidas pelbagai pihak termasuk menteri kabinet dari Sabah dan Sarawak.

Namun Nazri yang dikenali sebagai lantang itu mempertikaikan mengapa Abdul Karim perlu membabitkan pihak lain dalam pertikaian mereka.

"Ini antara saya dengan dia, mengapa nak bawa satu negeri terbabit sama? I am a jantan (man), OK?

"Biar dia jawab. Jadilah lelaki dan jawab. Saya mahu Abdul Karim jawab saya,” katanya.

Pertelingkahan menjadi semakin hangat dan tidak terkawal sehingga mesyuarat jemaah menteri, semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu telah dibincang dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan perkara itu diselesaikan dan semua pihak tidak lagi mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut.

Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut terheret dalam pertikaian itu, hari ini memberitahu wartawan bahawa Najib dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg telah mengadakan perbincangan yang akhirnya menjurus kepada penyelesaian.

Menurutnya, Abang Johari akan mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan cukai pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam dikuatkuasakan bermula 1 Julai depan.

Lihat Komen