malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
NGO pro-BN ajak Dr M, Azizah hadiri forum liwat
Diterbitkan:  Jun 14, 2017 1:54 PM
Dikemaskini: 6:13 AM
ADS

Sebuah NGO pro-BN hari ini menawarkan untuk menjadi tuan rumah bagi forum "liwat" yang kononnya sebagai platform untuk pemimpin pembangkang mempertahankan pemimpin de facto mereka yang dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NGO itu juga menjemput pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ahli panel.

Menurut Pegawai Petugas Khas Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia (PMSP), Shafik Abdullah, forum berkenaan akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Wan Azizah sentiasa mengatakan kerajaan memenjarakan suaminya kerana liwat adalah fitnah.

"Sekiranya tak ada liwat, saya panggil Mahathir dan Wan Azizah untuk ke forum liwat," kata Shafik di luar balai polis Daerah Petaling Jaya pagi ini.

Beliau berkata, undangan kepada Mahathir dan Wan Azizah akan dihantar melalui surat berdaftar tidak lama lagi dan menyatakan forum itu akan dibuat secara tertutup, di mana hanya media dijemput hadir.

"Tidak perlu penyokong BN atau pembangkang (berada di sana)," katanya.

Terdahulu Shafik bersama presiden PMSP, Ramesh Rao membuat laporan polis terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan pengasas Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown kerana didakwa bekerjasama untuk melobi pemisahan Malaysia Timur.

Ditanya bukti dakwaannya, Shafik cuba berdolak-dalih.

Sebaliknya, beliau mendakwa Rafizi telah "menyebarkan maklumat kepada orang awam" selepas Sarawak Report menerbitkan artikel yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang merupakan pendakwa dalam kes liwat membabitkan Anwar.

Najib enggan mengulas mengenai ini perkara itu sementara Muhammad Shafee berkata beliau akan menjawab pada masa akan datang.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas tuduhan yang dibuat dalam Sarawak Report. Usaha sebelum ini untuk menghubungi Najib dan pejabat Muhammad Shafee bagi mendapatkan komen juga tidak berjaya.

Lihat Komen