malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
S'wak keluar dari Lembaga Pelancongan M'sia
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 12:36 PM
Dikemaskini: Jun 13, 2017 1:21 AM
ADS

Sarawak mengumumkan menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, keputusan itu dibuat selepas kerajaan negeri berpendapat penyertaan dalam lembaga itu mempunyai pertindihan tugas serta peranan dengan Lembaga Penggalakan Pelancongan Sarawak.

Keputusan berkenaan diumum sehari selepas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz, menggelar Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai menteri "setahun jagung".

Kenyataan Nazri itu dibuat sebagai reaksi beliau kepada gesaan Abdul Karim agar kerajaan persekutuan menangguhkan pelaksanaan cukai pelancongan yang bakal berkuatkuasa 1 Ogos depan.

Karim turut menyebut mengenai Perjanjian Malaysia dalam meminta cukai itu ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.

Nazri bagaimanapun berkata, Karim tidak memahami perkara itu apabila mengatakan cukai berkenaan seharusnya menjadi urusan negeri.

"Tak payahlah bangkitkan agreement tu. Kami tahulah," kata Nazri kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa di Dataran Merdeka semalam dan dilaporkan Malaysiakini.

Sambil menegaskan bahawa cukai baru itu sebahagian daripada cukai persekutuan, Nazri berkata kerajaan membuat keputusan untuk menjadikannya sebagai cukai kerajaan persekutuan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Bila jadi cukai federal tak berbangkit soal kita rampas hak Sarawak," katanya.

Kenyataan Nazri turut dibidas Pemuda BN Sarawak.

Sepatutnya bermusyawarah

Pengerusinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kenyataan Nazri kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

"Pemuda BN Sarawak mengecam kenyataan Nazri terhadap Abdul Karim yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam BN.

"Tindakan melabel menteri Sarawak itu sebagai setahun jagung dan masih budak lagi adalah penghinaan terhadap Abdul Karim yang telah diberi kepercayaan oleh pucuk kepimpinan negeri untuk menerajui kementerian berkenaan di peringkat negeri.

"Sebagai sebuah keluarga besar dalam BN apa juga isu terutama menyentuh sensitiviti rakyat di mana-mana peringkat, seharusnya ditangani secara musyawarah dalam semangat BN dan bukannya menerusi kenyataan umum atau menerusi hebahan media kerana ia boleh mencetuskan kemarahan nitizen," katanya.

Sementara itu Nazri yang dihubungi Malaysiakini pula berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri dengan keputusan berkenaan.

Pelaksanaan cukai pelancongan akan memberi kesan secara langsung kepada pelancong apabila mereka perlu membayar lebih - sehingga RM20 untuk satu malam - bagi sebuah bilik hotel di seluruh negara.

Ia dikuatkuasakan kesan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan yang diluluskan di parlimen pada sidang yang lalu.

Kadar cukai berkenaan ialah:

  • RM20 untuk hotel bertaraf lima bintang
  • RM10 untuk hotel bertaraf empat bintang
  • RM5 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga bintang
  • RM2.50 untuk hotel bertaraf satu hingga tiga orkid serta yang tidak ditarafkan

Kata Nazri, hasil pelaksanaan cukai terbaru itu kerajaan boleh mengutip sehingga RM654 juta pada kadar penginapan 60 peratus.

Cukai itu tidak termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta caj perkhidmatan.

Bagaimanapun, bilik berdaftar dengan kerajaan di bawah program homestay dikecualikan daripada cukai berkenaan.

Turut dikecualikan ialah premis yang menyediakan penginapan kurang daripada 10 bilik, serta yang disenggara institusi agama, kerajaan dan badan-badan berkanun untuk tujuan bukan komersial.

[Baca reaksi Nazri di sini]

Lihat Komen