malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Injunksi Najib terhadap Pua diputuskan 4 Julai
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 5:57 PM
Dikemaskini: 10:07 AM
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 4 Julai bagi membuat keputusan berhubung permohonan injunksi inter-parte oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Injuksi itu difailkan Najib bagi menghalang Pua daripada memfitnahnya berhubung satu klip video yang dimuatnaik di laman Facebook, pada April lepas.

Najib mendakwa perkataan yang digunakan dalam ucapan di Facebook itu secara tersirat mengatakan perdana menteri telah menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan kabinet, melalui speaker Dewan Rakyat, membenarkan pembentangan pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355 ) oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas kedua-dua pihak berhujah mengenainya. Mereka diberikan masa memberikan jawapan sehingga 29 Jun, sekiranya ada kata peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Pua.

Hakim Mohd Zaki menggantikan pesuruhjaya kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang menarik diri dua minggu lalu daripada mendengar saman itu atas alasan pernah aktif dalam politik serta menjadi anggota pentadbiran dan Dewan Negara sebelum menganggotai badan kehakiman.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun memberitahu pemberita bahawa mahkamah hari ini juga telah memanjangkan injunksi sementara Najib kepada 4 Julai.

Injuksi itu sebelum ini diberikan oleh Hakim Abu Bakar Jais, apabila Najib pada asalnya memfailkan saman itu pada 21 April.

Ini adalah saman fitnah kedua yang difailkan Najib terhadap ahli parlimen DAP itu. Pada tahun 2015, beliau mendakwa Pua berhubung komen yang mengaitkan perdana menteri dengan skandal 1MDB.

Lihat Komen