malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi dakwa Najib bayar seorang lagi peguam RM325,000
Diterbitkan:  Jun 6, 2017 12:04 PM
Dikemaskini: Jun 7, 2017 9:32 AM
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar seorang lagi peguam yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dana berkaitan SRC International.

Memetik dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bocor, beliau berkata Najib membayar RM325,188 kepada Datuk Ghazi Ishak pada tahun 2011.

Bayaran itu, kononnya untuk mengketepikan sepina kepada perdana menteri untuk tampil memberi keterangan dan disoal-balas semasa perbicaraan kes liwat II.

Rafizi mendakwa SPRM telah mengesahkan pemindahan wang berkenaan dan menyoal peguam, Datuk Salehuddin Saidin, berhubung perkara itu..

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ghazi mengesahkan menerima pembayaran itu, dan bahawa ia adalah sebagai yuran guaman untuk dirinya dan tiga syarikat lain.

"Ia adalah bayaran bagi perkhidmatan yang diberikan," kata Ghazi.

Bagaimanapun beliau menafikan sebarang pengetahuan bahawa dana berkenaan berkaitan dengan SRC International.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Datuk Salehuddin Saidin mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa beliau telah disoal oleh SPRM berhubung perkara itu, seperti yang dinyatakan oleh Rafizi

Firma guamannya adalah salah satu daripada empat yang menerima pembayaran berkenaan.

Namun Salehuddin juga menafikan mempunyai sebarang pengetahuan tentang sumber wang tersebut.

Malaysiakini juga telah menghubungi SPRM dan setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Shariffudin Tengku Ahmad untuk mendapatkan maklum balas mereka mengenai dakwaan Rafizi.

Dokumen-dokumen yang dirujuk oleh pemimpin PKR itu, adalah dari berdasarkan blog sprminsider.blogspot.com yang aksesnya telah disekat oleh Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM).

Minggu lalu, portal Sarawak Report mendakwa bahawa perdana menteri membayar peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebanyak RM9.5 juta.

Portal itu mendakwa bahawa wang berkenaan disalurkan melalui dua bayaran dari akaun yang sama di mana dana SRC dimasukkan ke dalamnya. SRC adalah sebuah firma milik negara, dan bekas anak syarikat 1MDB.

Shafee bertindak sebagai ketua pendakwa dalam kes liwat II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila perkara itu dibawa ke mahkamah rayuan dan persekutuan.

Malaysiakini tidak dapat untuk mengesahkan kesahihan laporan Sarawak Report itu.

Najib, sebelum ini berulang-kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen