malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Skandal 1MDB: AMANAH puji tindakan S'pura
Diterbitkan:  Jun 1, 2017 12:02 PM
Dikemaskini: 4:06 AM
ADS

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub memuji beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat, Switzerland, Jepun, Korea Selatan dan Singapura kerana mempamerkan integriti urus tadbir negara.

Ia mampu, kata beliau, menjadi contoh kepada sekalian warga dunia.

"Terbaru ialah kenyataan dan tindakan tegas kerajaan Singapura berkaitan isu 1MDB yang sekali lagi memberi keaiban besar kepada negara dan rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan.

Dua hari lepas, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan mengenakan penalti kewangan terhadap dua bak kerana terlibat dalam transaksi yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Dua bank itu ialah Credit Suisse dan United Overseas Bank (UOB).

Dalam kenyatannya, MAS berkata Credit Suisse didenda S$0.7 juta (RM2.16 juta) manakala UOB didenda S$0.9 juta (RM2.78 juta).

Bank-bank itu didakwa melanggar Notis 625 MAS – Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Membendung Pembiayaan Keganasan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, keterlibatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB berlarutan hampir 5 tahun dan mengakibatkan berlakunya malapetaka politik dan ekonomi yang sangat memalukan.

"Merobek maruah negara di mata rakyat tempatan sekaligus masyarakat antarabangsa.

"Adalah sangat membimbangkan apabila fenomena amalan dan budaya rasuah yang berlaku di negara ini berinspirasikan daripada kerajaan kleptokrasi yang dipimpin Najib sekarang ini.

"Tidak mustahil kepada penagih rasuah di negara ini akan dan telah menjadikan Najib sebagai ikon mereka," katanya.

Oleh itu, tambah beliau, demi menyelamatkan negara, rakyat dan masa depan generasi akan datang, rakyat perlu mengajar Najib dengan bahasa yang paling difahami beliau.

"Hanya dengan bahasa undi sahajalah yang rakyat berkuasa menurunkan Najib dari kerusi kuasa dan dalam nafas yang sama menamatkan era kerajaan kleptokrasi di negara," jelas Salahuddin.

Lihat Komen