malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Isu laporan muka depan: The Star beri penjelasan
ADS

Empat wakil akhbar berbahasa Inggeris The Star hari ini hadir di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya dipercayai untuk memberi penjelasan berhubung laporan muka hadapan akhbar itu Sabtu lepas.

Empat wakil tersebut ialah pengarang pakar The Star M Shanmugam, serta tiga pengarang eksekutif iaitu Brian Martin, Dorairaj Nadason dan Rozaid Abdul Rahman.

Mereka tiba pada 10.50 pagi dan keluar dari bangunan itu kira-kira sejam kemudian.

Bagaimanapun, pihak media yang menunggu untuk mendapatkan kenyataan mereka hampa apabila dimaklumkan keempat-empat wakil The Star itu keluar melalui pintu lain.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim semalam dilaporkan berkata KDN akan memanggil ketua pengarang akhbar berkenaan untuk mendengar penjelasan mereka berhubung penyiaran gambar dan tajuk pada muka depannya.

Beliau berkata KDN kecewa dengan akhbar terbabit yang memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih pada malam pertama Ramadan, namun tajuk muka depannya yang tertulis Malaysian Terrorist Leader dikatakan tidak sensitif dengan umat Islam di negara ini.

Alwi berkata tindakan itu sangat mengecewakan memandangkan KDN telah memanggil pengurusan akhbar terbabit pada 23 Mei lepas untuk memberikan garis panduan mengenai penerbitan yang sepatutnya dikeluarkan.

Dalam pada itu, The Star juga telah membuat permohonan maaf atas perkara tersebut, semalam.

Menurut akhbar tersebut, adalah menjadi amalan akhbarnya menerbitkan gambar umat Islam menunaikan solat Tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan, kerana menghormati bulan mulia ini.

- Bernama

Lihat Komen