malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Ramai memberikan reaksi apabila Kongres PKR yang diadakan baru-baru ini sekali lagi mengangkat nama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ketujuh negara ini.

Tambah menarik, pada masa sama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melakarkan sejarah apabila menjejakkan kaki di acara tahunan ke-12 PKR itu.

Sekiranya kita merupakan pengamal, penggiat, peminat dan pemerhati politik, isu nama Anwar dinobatkan sebagai calon perdana menteri bukanlah baru kedengaran sehari dua ini.

Ia bermula sejak pilihan raya umum (PRU) ke-10 lagi, iaitu pada 1999. Anwar sebagai calon perdana menteri bukan isu baru. Ia adalah impian yang tak kunjung padam PKR terhadap mentornya. Itu adakah hak mutlak demokrasi PKR.

Ada pihak yang marah atau tidak berpuas hati terhadap apa yang berlaku semasa kongres PKR itu berlangsung.

Namun harus diingat, sekiranya kita adalah seorang demokrat sejati, tidaklah sukar untuk memahami tingkah laku dan gelora rasa setiap perwakikan dan ahli mana-mana entiti siasah di bumi ini.

Esok atau lusa pula akan tiba giliran DAP, BERSATU dan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk mengadakan sama ada konvensyen atau perhimpunan agung masing-masing.

Siapa yang berani menidakkan akan ada nama-nama selain Anwar bakal disebut sebagai calon perdana menteri? Sama ada nama-nama yang dicadangkan itu layak atau tidak, ia adalah persoalan iain.

Jangan kita nafikan hak serta kehendak mana-mana parti. Jadilah seorang demokrat.

Sebenarnya, jalan penyelesaian ada terbentang luas di hadapan kita. Bukankah Pakatan Harapan (HARAPAN) memiliki gabungan kepimpinan yang bukan kepalang hebatnya?

Tidakkah Dr Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu memiliki kepintaran dalam nuansa politik negara untuk nenyelesaikan kemelut ini?

Bukankah ada meja Majlis Presiden HARAPAN yang mampu menghuraikan kekusutan ini?

Siapa saja PM ketujuh?

Ada masa dan ketikanya seorang pemimpin perlu menjadi pendengar yang baik. Mereka perlu meneliti setiap pandangan daripada akar umbi untuk membuat keputusan terbaik.

Ada kalanya, pemimpin perlu berani menongkah arus untuk membuat keputusan. Berani mendepani cemuhan ahli dan mengambil risiko demi kepentingan negara dan rakyat.

Jadilah kita pemimpin sejati yang rakyat dambakan. Inilah sifat pimpinan HARAPAN yang pada bila-bila masa bersedia meletakkan kepentingan awam di hadapan dan mengetepikan kepentingan peribadi, hatta parti sendiri.

Sekiranya HARAPAN mahu Anwar sebagai perdana menteri, dia adalah perdana menteri kelapan, dan bukan ketujuh.

Majlis Presiden HARAPAN mesti memilih calon terbaik untuk merangsang kepercayaan rakyat bagi memenangi PRU ke-14, sekali gus mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh.

Dia - perdana menteri ketujuh itu - akan bertanggung jawab membentuk kabinet baru, melakukan reformasi urus tadbir negara dan berusaha untuk mendapatkan pengampunan Anwar.

Perdana menteri ketujuh boleh saja Dr Mahathir, Dr Wan Azizah, Muhyiddin atau Mohamad. Apa yang lebih penting, mereka teguh dengan sifat amanah dan prorakyat.

Inilah masanya rakyat mahu melihat kebijaksanaan dan kematangan pimpinan utama HARAPAN dengan tampil menyelesaikan setiap permasalahan negara dan rakyat.

Duduklah - berunding demi kepentingan rakyat - dan kemudian barulah berlunjur - untuk berkhidmat mereformasi negara.

Memang mudah berpidato mengajak orang lain supaya jangan berjuang demi kepentingkan peribadi atau parti sendiri. Bukan semua pemimpin lulus ujian ini.

Nelson Mandela, Khomeni, Ghandi dan Ghannouchi membuktikan bahawa mereka adalah pemimpin kelas atasan dunia yang mampu meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai prinsip utama perjuangan mereka.

Insya-Allah akan ada antara kita daripada pimpinan HARAKAN mewarisi jiwa besar mereka.


SALAHUDDIN AYUB ialah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen