malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AMANAH dakwa Najib heret M'sia ke kancah bahaya
Diterbitkan:  May 24, 2017 2:39 PM
Dikemaskini: 6:43 AM
ADS

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula telah mengheret Malaysia kepada satu blok Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).

"Apa yang dibuat oleh Najib telah meletakan Malaysia sebagai sebuah negara memihak. Maka, Malaysia tidak lagi dapat memainkan peranan dalam konflik di Iraq, Syria, Yaman bahkan di Palestin sendiri kerana sikap memihak kepada Amerika dan Saudi itu.

"Di (rantau) Asia Tenggara pula, sedang berlaku perebutan kuasa perairan terutama sekali antara China dan AS," katanya dalam kenyataan.

Justeru, jelas beliau, Malaysia yang menjadi sebuah negara yang memihak kepada AS dan meletakkan negara dalam kancah tidak baik untuk memberi pandangan berkecuali.

Dalam jangka masa panjang, Najib didakwa membawa negara ke satu blok yang akan mengundang bahaya kepada Malaysia dan rakyat seluruhnya.

Baru-baru ini, Najib bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan lebih 50 pemimpin negara majoriti Islam menghadiri majlis perasmian Pusat Global Bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di Riyadh.

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud dan Trump merasmikan pusat berkenaan yang bertujuan menangani penyebaran ideologi ekstremis di alam maya di Mu'tamarat Nasiriyah.

Pusat berkenaan juga bagi menentang dan mencegah penyebaran ideologi ekstremis dengan menggalakkan kesederhanaan, belas kasihan dan menyokong penyebaran agenda positif.

Mengulas lanjut, Mohamad yang popular dengan gelaran Mat Sabu berkata, beliau amat berharap agar Pakatan Harapan (HARAPAN) dapat kembalikan peranan Malaysia sebagai negara berkecuali jika ditakdirkan mengambil alih Putrajaya.

"HARAPAN diharap dapat meletakkan Malaysia kepada pendamai antarabangsa dan bukan memihak kepada negara-negara dalam pertikaian," jelas beliau.

Lihat Komen