malaysiakini logo
story-image
ADS

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini memuji langkah PKR mengarahkan anggotanya melepaskan jawatan lantikan politik di Kelantan selepas pembatalan kerjasama politik dengan PAS.

Timbalan presidennya Salahuddin Ayub berkata, ‎AMANAH sangat menghormati keputusan Biro Politik PKR lewat malam tadi.

‎"Sebagai sebuah parti saya yakin dan percaya segala keputusan yang dibuat telah mengambil kira pandangan-pandangan diberikan ahli-ahli mesyuarat berkaitan isu bagaiman PAS telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

‎"Pandangan saya, kenyataan yan dikeluarkan oleh presiden PKR untuk mengarahkan semua ahli-ahli majlis PKR di Kelantan untuk meletak jawatan adalah sikap bermaruah, gentleman (budiman) dan menunjukkan integriti," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Biro Politik PKR malam tadi memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan dilepaskan berkuat kuasa serta merta.

Isu berkaitan kedudukan PAS dalam Selangor pula akan diputuskan selepas Menteri Besar Selangor yang juga timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali pulang dari lawatan rasmi ke luar negara.

‎Salahuddin berkata langkah PKR itu memberi isyarat jelas apa yang patut dilakukan oleh PAS.

"Ini satu sikap yang wajar dicontohi apabila secara prinsipnya mana-mana pihak tidak ingin berkawan atau mengadakan hubungan dengan parti lain‎,” katanya.

"Saya rasa ‎dengan isyarat yang diberikan PKR malam tadi, sebagai orang politik yang berintegriti, yang mengamalkan sikap yang dikatakan bermaruah, saya rasa isyarat itu memberi gambaran jelas apa yang dilakukan oleh PAS dalam kerajaan negeri Selangor."

Beliau dikata demikian ketika ditanya sama ada tiga exco PAS dalam kerajaan Selangor patut berundur susulan perkembangan itu.

Sementara itu ditanya mengenai kemungkinan masih ada pemimpin dalam Pakatan Harapan berusaha untuk memujuk PAS, beliau menegaskan perkara itu tidak timbul.

Katanya, pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dua minggu lalu, keputusan bersama telah diambil untuk “meneruskan agenda Pakatan Harapan”.

"Jadi tak timbul lagi ada individu-individu yang mungkin boleh membuat percubaan atau usaha-usaha untuk memujuk (PAS),” katanya.

Lihat Komen