malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
China kini buka pintu seluasnya - Najib
ADS

China kini membuka peluang yang luas kepada ahli perniagaan Malaysia yang mahu menjalin kerjasama ekonomi untuk faedah bersama, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata hubungan saling mempercayai antara Malaysia dan China kini berada pada tahap paling menarik dengan ahli perniagaan Malaysia kini lebih mudah untuk menjalin kerjasama ekonomi berbanding sebelumnya.

"Saya lihat wujud kemesraan di pihak China seolah-olah pintu mereka dibuka seluas-luasnya," kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Ekonomi di sini pada Isnin.

Semasa di Beijing, Perdana Menteri berkata beliau berjumpa beberapa ahli perniagaan Malaysia yang memberitahu bahawa mereka kini begitu mudah mengadakan perbincangan dengan rakan niaga di China.

"Mereka seolah-olah mendapat kunci untuk membuka pintu yang sebelum ini mempunyai pelbagai halangan.

"Manfaatnya (tahap hubungan akrab Malaysia-China) sukar digambarkan," kata Najib.

Perdana Menteri berkata Malaysia menikmati faedah ekonomi dengan China kerana ia antara negara yang lebih awal komited kepada Inisiatif Jalur dan Laluan yang diilhamkan oleh Presiden China Xi Jinping.

"Ini tempoh yang mengujakan (buat Malaysia). Dan kerana itu ada orang cemburu kita mempunyai hubungan ini.

"Kerana itu orang mengkritik kita atas sebab-sebab yang tidak wajar. Ia tidak rasional," kata Najib.

Najib berkata kini terdapat anjakan paradigme di mana Malaysia berada dalam kedudukan mantap kerana hubungan kukuhnya dengan China.

"Ini peluang yang baik buat kita untuk memajukan ekonomi Malaysia bersama ekonomi China.

"Seperti kata Presiden Xi apa juga yang kita lakukan adalah berasaskan dasar menang-menang serta faedah dan kemakmuran yang dinikmati bersama," ujar beliau.

Najib berkata peluang yang wujud daripada Inisiatif Jalur dan Laluan adalah besar.

Beliau berkata, secara tradisional, Barat mengeksport modal mereka ke Timur dan kemudian rakyat di Timur menjadi pekerja mereka.

"Tetapi sekarang Timur (China) mengeksport modal ke Barat dan bahagian-bahagian lain dunia dan mereka dapat mengadakan pekerjaan, membekal teknologi serta mewujudkan pasaran," kata beliau.

Mengenai ekonomi digital, Najib berkata Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), yang akan dilaksanakan pada Oktober, dijangka mencetuskan pertumbuhan angka ganda yang akan menyumbang kepada pertumbuhan menyeluruh ekonomi negara.

"Jack Ma mahu melakukan banyak usaha di Malaysia. Beliau telah memilih Malaysia sebagai hub bagi penglibatannya dalam ekonomi digital bagi rantau Asean," kata Najib.

Sebelum tiba di Beijing pada Khamis, Najib melakukan lawatan singkat ke Hangzhou untuk menemui Jack Ma, pengasas dan pengerusi eksekutif Alibaba Group, pengendali e-dagang terbesar China.

Najib turut melawat ibu pejabat Alibaba Group dan diberi taklimat tentang mekanisme platform e-dagang syarikat itu.

Menurut Najib, pernyataan Forum Jalur dan Laluan yang dikeluarkan pada penghujung forum dua hari itu menegaskan pentingnya hubungan rakyat dengan rakyat diutamakan selain saling menghormati dan berpegang kepada kedaulatan undang-undang.

Semasa di sini, Najib menyaksikan majlis menandatangani sembilan Perjanjian Persefahaman antara syarikat Malaysia dan China dengan jumlah pelaburan dianggarkan bernilai AS$7.22 bilion (kira-kira RM30 bilion).

Antaranya melibatkan AirAsia yang berpeluang menembusi pasaran China setelah beberapa tahun mencuba untuk mewujudkan kerjasama dalam sektor penerbangan tambang murah.

Kata Najib, ini adalah masa Malaysia meraih peluang melalui kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan pada waktu keadaan ekonomi dunia sekarang yang tidak menentu.

Sebagai contoh, katanya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mewujudkan infrastruktur yang bakal meningkatkan pertumbuhan industri yang sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar.

Di luar forum, Najib mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan Britain Philip Hammond, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa Christine Lagarde, dan Perdana Menteri Poland Beata Szydlo.

Najib berkata China berhasrat untuk menganjurkan lagi forum tersebut tahun depan. -Bernama

Lihat Komen