malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan: China harap M'sia teruskan perjanjian IWH-CREC
Diterbitkan:  May 15, 2017 6:03 PM
Dikemaskini: 10:20 AM
ADS

Konsortium Iskandar Waterfront Holdings dan China Rail Engineering Corporation (IWH-CREC) mungkin dibawa semula dalam projek Bandar Malaysia berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Beijing.

"Perdana Menteri China, Li Keqiang memberitahu Najib bahawa China berharap perjanjian di Bandar Malaysia kekal tidak berubah. Najib mungkin perlu mengambil kira hasrat China," kata satu sumber kerajaan di Beijing seperti dilaporkan The Star Online.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan IWH-CREC pada akhir 2015 yang akan menyaksikan konsortium itu mengambil alih kepentingan 60 peratus di Bandar Malaysia bernilai RM7.41 bilion.

Bagaimanapun, kerajaan mengumumkan pada 3 Mei bahawa perjanjian itu dibatalkan.

Sejurus kemudian, Najib mula menggembar-gemburkan bahawa kumpulan Dalian Wanda iaitu syarikat pemaju hartanah terbesar di China berpotensi sebagai pembida projek Bandar Malaysia.

Najib juga telah bertemu bos Dalian Wanda, Wang Jianlin tetapi syarikat itu masih belum menyatakan komitmen terhadap projek tersebut.

Banyak spekulasi timbul apabila kerajaan membatalkan perjanjian dengan CREC yang dimilik kerajaan China - ke atas projek yang dianggap lumayan dan srategik itu.

Selepas pertemuan dengan Li dan Presiden Xi Jinping pada petang Sabtu lalu, Najib berkata, struktur ekuiti untuk Bandar Malaysia akan berubah dan syarikat luar tidak hanya terhad kepada Wanda Group semata-mata.

"Kami akan mengambil kira kedudukan CREC dan kumpulan lain yang berminat, termasuk Dalian Wanda," katanya.

Dilaporkan, Najib melawat ibu pejabat Dalian Wanda awal pagi semalam di mana beliau memuji syarikat itu pada sidang akhbar bersama.

Wang dilaporkan berkata pelaburan dalam Bandar Malaysia akan menjadi besar kerana perjanjian itu kini bernilai AS$ 10 bilion (RM43.4 bilion).

[Baca berita penuh]

Lihat Komen