malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
HARAPAN gesa Pandikar patuhi titah sultan
Diterbitkan:  May 14, 2017 6:24 PM
Dikemaskini: 11:19 AM
ADS

Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mematuhi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar persidangan parlimen tidak berlarutan sehingga lewat pagi.

Ini termasuk memastikan Dewan Rakyat bersidang sekurang-kurangnya 80 hari setahun, kata Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Harapan dalam kenyataan hari ini

Menurut  HARAPAN, pada 5 April lalu, sidang parlimen berakhir pada jam 5.05 pagi hari keesokannya dan disambung semula pada jam 10 pagi hari yang sama bagi menyelesaikan semua rang undang-undang kerajaan.

"Apabila ditanya oleh media mengapa parlimen bersidang begitu, Speaker Parlimen, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyalahkan pembangkang kerana tidak mewujudkan kabinet bayangan.

"Sungguh tidak munasabah sikap Pandikar kerana enggan mengakui kelemahannya sendiri dan tidak menunjukkan sikap adil seperti yang disarankan oleh Sultan Selangor," jelas kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah, Nurul Izzah Anwar (PKR), Dr Dzulkifli Ahmad (AMANAH), Dr. Rais Hussein (BERSATU) dan Liew Chin Tong (DAP).

Sultan Sharifuddin dalam titahnya berkata "Tempoh masa yang cukup ialah bagi memastikan suara rakyat didengari melalui setiap kerusi dan Ahli Dewan Negeri yang telah dipilih.

"Beta ingin menyarankan agar setiap Dewan dapat mengurangkan mesyuarat Dewan yang melangkaui masa berehat iaitu selepas jam 12 tengah malam kerana Beta yakin bahawa kecergasan minda semua pihak termasuklah urus setia Dewan dan para pelapor tidak berada di paras yang optimum ketika ini.”

Pemimpin pembangkang berkata Dewan Rakyat pada tahun ini dijadualkan bersidang selama 57 hari sahaja.

"Sedangkan parlimen di Australia dan United Kingdom, sebagai rakan negara Komanwel, bersidang sekurang-kurangnya 150 hari setahun.

HARAPAN berkata amalan itu bercanggah saranan Sultan yang bertitah “untuk memastikan masalah dan suara rakyat didengari dan dibincangkan bagi mendapat penyelesaian, maka tiap-tiap satu persidangan Dewan itu haruslah dipanjangkan untuk memberi masa kepada wakil-wakil Rakyat menyuarakan kehendak rakyat".

Justeru HARAPAN berpendapat bahawa parlimen Malaysia perlu bersidang tidak kurang daripada 80 hari setahun.

Selain itu mereka juga menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dipengerusikan oleh ahli parlimen pembangkang.

"Ini selaras dengan amalan negara-negara Komanwel dan ia bertujuan memastikan wujud keadilan dan keseimbangan," jelas mereka.

HARAPAN berkata, pada masa ini Parlimen Malaysia tidak ada sistem jawatankuasa dasar untuk menyemak dan membahas cadangan rang undang-undang daripada eksekutif sebelum dibahas di Dewan Rakyat.

Walaupun perkara itu ada dalam cadangan reformasi parlimen yang dikemukakan Pandikar pada tahun 2015, namun sistem jawatankuasa dasar itu dihalang oleh sebuah Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan timbalan perdana menteri.

"Di Parlimen Malaysia, rang undang-undang biasanya hanya dibentang di atas meja ahli-ahli Parlimen sehari atau dua hari sebelum diluluskan.

"Ini tidak munasabah. Ahli-ahli parlimen tidak diberikan cukup masa untuk mengkaji secara mendalam dan berunding dengan pihak-pihak berkaitan atau stakeholders. Ini seolah-olah mempermain-mainkan cara undang-undang digubal di Malaysia," kata mereka.

 

 

Lihat Komen