malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: M'sia, Australia komited tangani jenayah rentas sempadan
ADS

Malaysia dan Australia akan lebih komited dalam menangani jenayah rentas sempadan termasuk menangani isu pendatang tanpa izin melibatkan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komitmen kedua-dua negara itu dilaksana menerusi program latihan kawalan sempadan, pertukaran maklumat risikan serta kerjasama lebih erat dalam menangani isu itu.

Beliau telah menemui pemimpin Australia dalam portfolio berkaitan bagi menjelaskan bahawa Malaysia bukanlah negara transit kepada pendatang tanpa izin yang memasuki negara berkenaan.

"Malaysia juga menghadapi masalah berkaitan pendatang tanpa izin. Ketika ini terdapat 56,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar (Rohingya)," katanya kepada pemberita Malaysia sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Dalam lawatan kerja itu, beliau telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, selain bertemu rakan sejawatnya Timbalan Perdana Menteri Australia Barnaby Joyce dan Menteri Imigresen dan Perlindungan Sempadan Australia Peter Dutton, Menteri Kehakiman Australia Michael Keenan serta Menteri Luar Julie Bishop.

Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ke Australia sejak Ahad lepas itu adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia, dengan menumpukan kepada isu pendatang tanpa izin dan usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Beliau berkata Australia juga berminat terhadap program deradikalisasi warga asing yang dilaksanakan Malaysia.

"Malaysia turut bercadang untuk menghantar pegawai dalam agensi berkaitan bagi mempelajari modul Australia dalam mengawal sempadan negara itu, terutama dalam mengekang kegiatan penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia," katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau menjelaskan bahawa Malaysia bersama negara jiran seperti Indonesia dan Thailand sangat komited dalam menangani isu jenayah rentas sempadan serta berkaitan pendatang tanpa izin di rantau itu.

Malah, Malaysia juga akan memperkemaskan lagi piawaian prosedur operasi standard (SOP) agensi kawalan sempadannya.

"Integrasi keempat-empat agensi kawalan sempadan Malaysia iaitu polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia akan lebih diperkemaskan bagi membanteras jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan," katanya. -Bernama

Lihat Komen