malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi tumpu kepada senarai penerima wang SRC
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini memberi tumpuan kepada beberapa dokumen yang didakwa  menyenaraikan penerima bayaran daripada dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB yang disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dokumen-dokumen berkenaan dimuat naik pada blog sprminsider.blogspot.my pada 2016. Bagaimanapun, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah menyekat akses kepada laman web itu.

Bercakap pada sidang akhbar di Kuala Lumpur petang ini, Rafizi berkata beliau memutuskan untuk membangkitkan isu berkenaan kerana mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah sahih.

"Semua urus niaga diperiksa satu persatu berbanding kertas yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali (semasa sidang media pada 26 Jan 2016) yang memperincikan aliran wang dari SRC melalui beberapa syarikat sebelum berakhir dalam akaun Najib.

"Semua maklumat dalam dokumen itu yang dimuat naik ke sprminsider adalah tepat, seperti yang dinyatakan dalam kertas yang dipegang oleh Apandi," katanya.

Rafizi berkata, beliau bertambah yakin dengan kesahihan dokumen-dokumen tersebut selepas menyiasat nama-nama syarikat dan individu yang dinamakan dalam dokumen itu.

Beliau mendakwa semua mereka dikaitkan dengan Umno atau Najib sendiri.

Antara penerima yang dinyatakan di dalam dokumen itu adalah syarikat barangan kemas De Grisgono di Arzachena, Itali, yang didakwa menerima 10 bayaran berasingan berjumlah Euro 763,500 (RM3,595,916.53 berdasarkan kadar pertukaran semasa) pada tahun 2014.

Penerima lain dalam senarai itu, termasuk beberapa agensi yang berkaitan dengan media, firma-firma lain, bahagian Umno dan BN serta pelbagai individu.

Malaysiakini sedang dalam proses untuk menghubungi penerima yang didakwa itu untuk mendapatkan reaksi mereka.

Najib berulang kali menafikan bahawa dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi berhubung wang RM2.6 bilion yang berada di akaun peribadi banknya. Sebaliknya, wang berkenaan dikatakan adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membersihkan dirinya daripada sebarang salah laku.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 3 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan siasatannya ke atas SRC International.

Jawapn satu perenggan itu mendedahkan bahawa SPRM telah merakamkan kenyataan semua saksi yang terlibat.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen