malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Duhai Hadi, siapa nak jadikan PAS hotel persinggahan?
ADS

ULASAN | Parti pembangkang manakah yang mahu jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ untuk dijadikan batu loncatan demi pilihan raya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti hilang akal apabila menyifatkan parti pembangkang lain sebagai hanya mahu menggunakannya untuk menang pilihan raya.

Begitu angkuh dan sombong sekali Abdul Hadi meletakkan PAS seolah-olah sebagai parti pembangkang yang dominan segala-galanya berbanding parti lain.

Atas kekuatan apa Abdul Hadi menunjukkan kesombongannya?

Apakah dengan bertanding 80 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 Abdul Hadi boleh mendabik dada dengan menjangkakan PAS boleh memenangi 50 daripadanya?

Apakah jumlah itu mempu mengatasi DAP atau parti lain dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya kali ini?

Isunya ialah, apakah kemenangan PAS yang mendapat 21 kerusi (kini tinggal 14 saja selepas enam menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang ke PKR) daripada 73 kerusi yang dipertandingkan olehnya pada PRU ke-13 lalu hasil usaha dan sokongan ahlinya semata-mata?

Bagaimana pula dengan PKR yang menang 27 kerusi (kini 28 selepas seorang melompat dari PAS) berbanding 99 kerusi yang ditandinginya. Apakah prestasinya kurang baik kerana tidak mendapat kerjasama PAS?

PAS mendabik dada mereka ada di 165 kawasan, dan 7,000 cawangan, sementara pembangkang lain pula tidak ada kawasan serta tidak ada cawangan.

PAS mendakwa mempunyai ahli hampir sejuta orang dan parti lain tidak sehebatnya. Namun bukankah keputusan PRU ke-13 boleh dijadikan ukuran yang lebih benar?

Kenapa DAP yang bertanding di 51 kerusi menang 37 kerusi?

Tidakkah PAS menang di kebanyakan parlimen di Pantai Barat kerana bantuan bukan Melayu?

Mengapa berleter panjang

Apa akan terjadi kali ini dengan bantahan banyak pihak kepada keputusan PAS membentangkan usul pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat?

Juga, apakah PAS sedar wujud bantahan rakyat hasil kempen AMANAH terhadapnya, selain penolakan rakyat kepada PAS - atas beberapa sebab lain - akan menjejaskan undinya pada PRU ke-14?

Apakah Abdul Hadi kini hanya bermimpi di siang hari dan sedang menyukarkan jentera PAS di beberapa negeri tertentu kerana bertanding sendirian?

Selain itu, atas kekuatan apa Abdul Hadi berani mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah "hotel persinggahan" untuk dijadikan batu loncatan?

Bukankah dalam setiap bentuk kerjasama, khususnya bertanding dalam pilihan raya, setiap parti akan berunding untuk menentukan kerusi serta calon yang diletakkan dalam pilihan raya?

Apakah DAP, AMANAH, PKR atau parti paling baru - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cuba menipu PAS dalam setiap rundingan?

Kenapa kali ini, sebelum rundingan muktamad Abdul Hadi sudah ‘berleter panjang’? Kenapa kemarahannya menjadi-jadi, sedangkan banyak perkara masih boleh dibincangkan.

Apakah ini bermakna bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, sudah tidak boleh dipakai lagi dan Abdul Hadi menggunakan kuasa vetonya untuk menghentikan perbincangan dan perundingan itu?

Melalui kenyataannya kelmarin, Hashim mengatakan PAS belum menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti Islam itu.

Malah katanya, jika DAP atau AMANAH, atau mana-mana pihak lain bersedia untuk mematuhi syarat-syarat PAS, mereka masih boleh bekerjasama.

Namun kenyataan Abdul Hadi dengan sendirinya membatalkan kenyataan Hashim.

Lebih jauh Abdul Hadi mengatakan pembangkang lain bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

Walaupun Abdul Hadi ada menyebut perbuatan itu turut dilakukan oleh ahli partinya, kenyataan berkenaan jelas perbuatan yang merendahkan keupayaan parti pembangkang lain.

Seolah-olah Abdul Hadi bercakap dengan membawa suara orang lain dalam isu ini.

Rasa sangat kuat

Apakah Abdul Hadi tertelan umpan oleh parti tertentu yang sengaja mahu melihat pertelingkahan wujud sesama pembangkang kerana dia dianggap mudah memakan umpan?

Abdul Hadi yang selama ini menegur parti lain kononnya campur tangan dalam urusan PAS turut menyentuh ‘tubuh badan’ parti pembangkang lain dengan kasar dan tidak beretika.

Ia boleh dilihat misalnya melalui gesaan anggota parlimen Marang itu supaya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat parti politik di negara ini untuk memastikan mereka mematuhi perlembagaan.

Walau kepada siapa ditujukan kenyataan itu, kenapa sekarang baru Abdul Hadi menimbulkan isu ini?

Kata-kata dan tindakan Hadi tidak sekadar kepada DAP tetapi dia juga menyerang Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU.

Kritikan Hadi terhadap BERSATU ialah parti itu tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

Justeru, siapa Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada Abdul Hadi? Lebih rendahkah kedudukan mereka daripada beliau?

Kenyataan itu turut melupuskan gambaran dinyatakan Timbalan Presiden PAS Datuk ‎Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS masih berunding dengan BERSATU.

Kenyataan Abdul Hadi mengenai BERSATU langsung tidak mengiktiraf wujudnya kepimpinan negeri dan bahagian serta cawangan parti yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan di negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Melaka serta Pulau Pinang.

Amat nyata Abdul Hadi menganggap PAS berada pada kedudukan ‘super kuat’ berbanding pembangkang lain untuk menghadapi PRU ke-14.

Dan keyakinan itu mungkin kerana kedudukannya yang lebih selesa kerana dibantu banyak perkara oleh Umno dan BN.

Malah, tidak sukar untuk dibaca bahawa dengan penolakan PAS bekerjasama dengan HARAPAN, parti itu sebenarnya sedang mempertahan dan menegakkan BN untuk terus memerintah.

Mungkin bagi PAS, rang undang-undang bagi meminda Akta 355 itu adalah satu-satu keutamaan di Malaysia ketika ini berbanding hal-hal lain seperti mengatasi kemiskian, keperitan rakyat, rasuah, penyelewengan atau juga kleptokrasi.

Dan yang nyata bagi Abdul Hadi dan PAS, satu-satunya pihak yang boleh membantunya kini ialah Najib Razak.


HAMBALI ABDUL LATIFF bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini menjadi perunding media bebas. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan sikap Malaysiakini.

Lihat Komen