malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jika PAS mahu bertanding, apa nak buat - kata PKR
ADS

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini seakan-akan 'pasrah' jika PAS membuat keputusan untuk bertanding di kawasan yang sama pada pilihan raya umum ke-14.

"Nak bertanding, bertandinglah, apa saya nak buat kalau PAS nak bertanding.

"Tapi memang kita katakan, kalau matlamatnya satu ialah menumbangkan kerajaan kleptokrasi, kita kira adalah cara yang rasional antara kita," kata Wan Azizah ketika diminta mengulas usul PAS supaya parti itu bertanding di kerusi PKR.

Beliau berkata demikian dalam sidang media kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Yayasan Selangor, hari ini.

Muktamar PAS yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut hari ini meluluskan usul supaya parti itu bertanding di kerusi PKR pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU-14).

Usul dikemukakan perwakilan PAS Kawasan Kota Raja dan Kuala Terengganu, diluluskan tanpa bahas bersama tujuh lagi usul lain.

Pengerusi Lembaga Pemilihan Usul PAS, Nasruddin Hassan Tantawi, berkata tujuh lagi usul lain yang dilulus tanpa bahas adalah menangani Islam liberal, memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), integrasi sistem pendidikan PAS dan mendesak kerajaan Persekutuan menjaga kebajikan rakyat menangani cabaran kesempitan hidup dengan lebih berkesan.

Terdahulu, Wan Azizah yang juga ketua pembangkang mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi HARAPAN bagi membincangkan logo gabungan parti pembangkang itu.

Wan Azizah yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh berkata, permohonan tersebut akan dibuat dalam tempoh dua minggu.

Soal jawatan dalam gabungan tersebut juga akan dibincangkan sebaik saja logo HARAPAN diluluskan, jelasnya.

"Mesyuarat kita pada petang ini telah mendapat persetujuan konsensus, kita akan menyerahkan aplikasi kita untuk HARAPAN dan akan hantar kepada RoS dalam masa dua minggu.

"Dipersetujui Perlembagaan kita dan juga kita akan ada jawatan-jawatan yang akan dipenuhi oleh semua parti, daripada PKR, DAP, AMANAH dan BERSATU," kata Wan Azizah.

Sementara itu, mengulas sejauh mana HARAPAN mampu meraih undi Melayu tanpa kerjasama PAS, Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau yakin ia berpihak kepada mereka.

Namun, apa yang membimbangkannya adalah apabila berlaku tiga penjuru sudah pasti ia akan membantu kemenangan Umno-BN.

"Kalau itu yang terjadi, ia memang membantu BN menang.

"Kalau kita mengikuti kehadiran orang Melayu dalam perjumpaan-perjumpaan yang telah diadakan oleh HARAPAN, jumlah mereka begitu besar sehingga meningkat kepada 12,000 dan 15,000," kata Mahathir.

Lihat Komen