malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PM: Petronas minat teruskan kontrak dengan Vietnam
ADS

Kerajaan Vietnam mempertimbangkan minat Petronas untuk meneruskan kontrak perkongsian pengeluaran di negara itu untuk tempoh 10 tahun lagi, demikian diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Petronas telah berada di Vietnam selama 25 tahun.

Minat Petronas untuk meneruskan kontrak perkongsian pengeluaran itu akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Vietnam, katanya pada sidang media dengan wartawan Malaysia selepas perbincangan dua hala selama kira-kira sejam dengan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc.

Kedua-dua pemimpin itu berada di sini bagi Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30.

Malaysia adalah antara pelabur terbesar di Vietnam.

Najib berkata perkara ini amat penting untuk diputuskan memandangkan terdapat beberapa syarikat multinasional telah menamatkan operasi mereka di Vietnam.

"Tetapi Petronas masih berminat lagi untuk terus melakukan pelaburan di Vietnam," katanya.

Beliau berkata dalam soal Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), persetujuan dicapai bahawa rundingan RCEP perlu diteruskan sehingga ia dapat dimuktamadkan.

"Di samping itu, 11 negara TPP lain berbincang tentang alternatif kepada TPP," katanya.

Katanya komitmen untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$15 bilion pada 2020 daripada US$11 bilion turut dibincangkan.

-Bernama

Lihat Komen