malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan celupar hina ulama, kata PAS S'gor pada Azmin
ADS

MUKTAMAR | Perwakilan Dewan Ulama PAS Selangor hari ini memberi 'nasihat' kepada Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali agar tidak bermulut celupar dengan menghina ulama.

Menurut Nik Bakri Nik Mat, beliau berkata demikian sebagai merujuk tindakan Azmin sebelum ini yang menggelarkan seseorang sebagai 'tok lebai yang kalah tersungkur'.

"Menteri besar Selangor dari PKR hina dengan bahasa memanggil lebai. Bagi kami, kami tak boleh terima.

"Kalau boleh nak putus segera (dengan PKR) kerana dari segi berpolitik, menyinggung lawan adalah benda biasa tapi menyinggung dengan benda penghinaan pada tuan-tuan guru di sekitar kita terutama presiden kami (tidak boleh diterima).

"Atas dasar Islam suatu agama nasihat, maka sekali lagi, kami nasihat menteri besar dari PKR, Azmin Ali, tolong pada masa akan datang jangan celupar mulut hina para alim ulama," katanya ketika berucap di Muktamar Dewan Ulama di Kedah.

Tak benci bukan Islam

Selain itu, Nik Bakri yang juga naib ketua Dewan Ulama Selangor berkata, pihaknya tidak pernah membenci masyarakat bukan Islam atas nama kafir.

Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya akan memerangi masyarakat bukan Islam atau Islam yang menzalimi rakyat dan masyarakat.

Malah, beliau turut menjelaskan prinsip mengapa pihaknya memerangi DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

"Kenapa kami memerangi DAP bukan atas dasar dia bukan Islam tetapi DAP telah menzalimi umat Islam dengan memerangi dasar perjuangan PAS itu sendiri.

"Begitu juga kami tidak memerangi AMANAH atas dasar dia itu Melayu, tetapi kami perangi mereka atas nama mereka mengkhianati perjuangan Islam dan menzalimi perjuangan Islam.

"Kita juga tidak membenci Umno kerana mereka Umno semata-mata tetapi kita membenci kezaliman yang ada pada mereka kerana mereka menzalimi rakyat," jelasnya.

Penjelasan hubungan PAS-PKR

Sehubungan dengan itu, ekoran pelbagai perkara yang dilihat bercanggah, Nik Bakri meminta PAS Pusat memberi panduan mengenai hubungan politik bersama PKR.

"Bagi kami, kami telah buat keputusan (putus hubungan dengan PKR), tetapi kami tidak mahu mendahului pemimpin-pemimpin yang ada.

"Kami memohon sejujurnya, kami tidak mahu gopoh, tetapi kami perlukan satu pendirian dari Dewan Ulama PAS Pusat," kata Nik Bakri.

Selain itu, beliau turut memberikan contoh 'peristiwa' lain yang berlaku di Selangor sehingga menyebabkan pihaknya ingin memutuskan hubungan kerjasama politik dengan PKR.

Antara 'peristiwa' yang disebutnya ialah ketika pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar apabila Nik Bakri mendakwa, PKR menyebelahi AMANAH sedangkan ketika itu AMANAH merupakan parti lawan PAS.

"PRK Sungai Besar, terang-terangan PKR menyebelahi AMANAH.

"Maka kita berbelah bahagi, bagaimana nak teruskan (kerjasama dengan PKR) sedangkan dihadapan kita, terang-terangan mereka lawan kita," katanya.

Lihat Komen